fbpx
Now Reading
“Beberapa Syarikat Sudah Nyatakan Komitmen” – Tengku Zafrul Dedah ART Dijangka Tingkatkan Pelaburan

“Beberapa Syarikat Sudah Nyatakan Komitmen” – Tengku Zafrul Dedah ART Dijangka Tingkatkan Pelaburan

Tengku Zafrul turut mengulangi kenyataan beliau terdahulu yang rundingan bersama AS tersebut adalah melibatkan pelbagai pihak industri dan agensi kerajaan bagi memastikan kepentingan negara serta daya saing industri tempatan terus terpelihara.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Tidak dinafikan, perjanjian Timbal Balas Perdagangan Malaysia–Amerika Syarikat (ART) antara isu yang paling hangat dibincangkan oleh masyarakat selepas ia didakwa akan menyerahkan kedaulatan negara kita kepada kuasa besar.

Meskipun perjanjian itu membuatkan kadar tarif purata diturunkan menjadi 19%, banyak pihak yang kurang bersetuju dan mengkritik termasuk Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) yang menggesa ianya dibatalkan.

Tegas MTEM, pembangunan inklusif mesti berpaksikan kepentingan rakyat Malaysia, bukannya pelabur luar.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kemudiannya memaklumkan usaha melindungi kedaulatan dan kepentingan negara dalam rundingan ART telah dilaksanakan secara menyeluruh sejak peringkat awal lagi.

Jelas beliau segala risiko telah diteliti secara mendalam oleh pasukan rundingan yang melibatkan pelbagai agensi dan kementerian-kementerian sebelum perjanjian itu dimeterai, lapor Awani.

Syarikat tempatan dan antarabangsa sudah beri komitmen tambah pelaburan

Terbaharu, Tengku Zafrul menerusi program Interviu bersama Sinar Harian menjelaskan beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa sudah menyatakan komitmen untuk meningkatkan pelaburan selepas perjanjian itu ditandatangani.

Malah ART dijangka membuka lebih banyak peluang pelaburan baharu ke negara ini sekaligus memberi kejelasan kepada pelabur.

“Kita nampak beberapa syarikat termasuk dari AS dan juga tempatan sudah maklumkan akan tingkatkan pelaburan kerana kini ada kejelasan dan kepastian selepas perjanjian ini dimeterai.

“Langkah ini juga membuktikan Malaysia diiktiraf sebagai antara rakan dagang penting dalam rantaian bekalan serantau,” katanya dipetik Sinar Harian.

Kerajaan akan bantu PMKS berdepan cabaran pasaran baharu

Tambah beliau lagi, kerajaan juga telah menyediakan langkah-langkah untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) dalam mendepani cabaran pasaran baharu.

Ini termasuklah:

  • Menaikkan kadar Geran Pembangunan Pasaran (MDG) hingga 100% seperti diumumkan dalam Belanjawan.
  • Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) di bawah Kementerian Kewangan akan tawarkan jaminan bagi memudahkan syarikat mendapatkan pinjaman bank.

“Ini sedikit sebanyak membantu PMKS yang akan terkesan. Contohnya dalam industri perabot, walaupun kadar tarif hampir sama, harga mungkin meningkat sedikit di pasaran AS dan ini boleh menjejaskan permintaan.

“Jadi kita bantu mereka teroka pasaran baharu seperti di Timur Tengah dan Afrika,” katanya.

Tonton video penuh di bawah:

Beliau dalam masa sama turut mengulangi kenyataan beliau terdahulu yang rundingan bersama AS tersebut adalah melibatkan pelbagai pihak industri dan agensi kerajaan bagi memastikan kepentingan negara serta daya saing industri tempatan terus terpelihara.

“Rundingan ini cukup terperinci dan semua pihak industri memberi sokongan. Kita mahu pastikan dari segi pekerja dan industri, Malaysia kekal berdaya saing.

“Saya menjangkakan beberapa lagi sesi rundingan akan berlangsung menjelang akhir November ini sebelum AS menguatkuasakan kadar tarif baharu terhadap negara yang tidak menyertai perjanjian itu,” ujarnya.

2 Disember hari terakhir di MITI

Dalam pada itu tarikh 2 Disember ini merupakan hari terakhir beliau sebagai Menteri MITI.

Ini memandangkan tempoh beliau sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) akan tamat pada waktu itu.

“Hari terakhir saya di MITI adalah pada 2 Disember ini kerana sudah tidak menjadi anggota Dewan Negara,” katanya dipetik BH.

 “Saya akan membantu proses peralihan yang diperlukan dengan Menteri MITI baru yang bakal dilantik kelak,” katanya lagi.

Tengku Zafrul bagaimanapun enggan mengulas lanjut siapa penggantinya di MITI kelak.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.