Tiada Lesen Sah, JPJ Sita 25 Lori Sampah Dipandu Warga Asing
Menurut Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan bagi kenderaan yang disita akan diambil tindakan mengikut APAD untuk tujuan pelucutan hak.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Setiap individu yang ingin membawa kenderaan di Malaysia ini perlulah mendapatkan lesen yang sah termasuklah warga asing.
Bukan hanya itu, lesen yang diambil perlulah mengikut jenis atau kategori kenderaan yang dibawa sebagai contoh lesen kelas B2 bagi mereka yang membawa motosikal tidak melebihi 250 cc.
Individu yang membawa kenderaan tanpa lesen atau dokumen yang sah boleh dikenakan tindakan undang-undang.
JPJ sita 25 lori sampah sebuah syarikat yang dipandu warga asing
Terbaharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah bertindak menyita 25 lori sampah milik sebuah syarikat dalam tempoh dua minggu melalui operasi penguatkuasaan terhadap lori yang dipandu oleh warga asing di Selangor.
Menurut Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan perbuatan berkenaan adalah kesalahan serius dan berulang.
“Justeru JPJ merasakan perlu ada tindakan bersepadu untuk mengatasi perkara terbabit,” ujarnya lapor Bernama.
Kata Muhammad Kifli, bagi kesalahan tersebut JPJ hanya boleh mengambil tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan peruntukan hukuman yang sangat minimum.
Kenderaan yang disita akan diambil tindakan ikut APAD untuk lucut hak
Manakala bagi kenderaan yang dipandu oleh warga asing tanpa lesen berkenaan akan diambil tindakan mengikut Akta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tujuan pelucutan hak.
“Bagi kami itu tidak memadai kerana syarikat-syarikat yang menggajikan tidak terkena apa-apa kerana kebanyakan pekerja mereka tidak sah atau menyalah guna permit kerja.
“Justeru, JPJ akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen (JIM) bagi melaksanakan tindakan bersepadu terhadap pengusaha lori yang menggaji warga asing tanpa lesen memandu sah.
“Semua 25 kes ini (25 lori sampah) ini akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut terhadap syarikat di bawah Akta Imigresen 1959/63.”
Nak elak insiden tak diingini berlaku
Jelas beliau lagi, pendekatan terbaharu JPJ dilakukan itu adalah disebabkan kesalahan berulang dan mahu mengelakkan insiden tak diingini khususnya kemalangan.
Sewaktu disoal adakah JPJ telah memanggil syarikat tersebut ekoran pelbagai kesalahan yang dibuat, beliau memaklumkan empat libat urus telah dijalankan buat ketika ini.
“Seperti biasa, pihak syarikat hanya menjanjikan mereka akan berusaha untuk memastikan pemandu digajikan adalah mempunyai semua syarat diperlukan. Namun, apabila ditahan masih berlaku kesalahan berulang itu,” ujarnya.
Dalam pada itu sebanyak 5,915 kesalahan telah dikesan JPJ Selangor yang melibatkan pemandu-pemandu warga asing dengan pelbagai kesalahan sejak Januari sehingga 6 November.
Antara kesalahan yang dikesan seperti:
- Notis saman P22 sejumlah 2,170
- Notis 61(1) arah periksa sebanyak 1,729
- Notis larangan penggunaan kenderaan sebanyak 1,620
- Notis 114 temusiasat berjumlah 154
- Notis 115 meminta butir pemandu sebanyak 104
- Notis penahanan kenderaan 64(1) sita sebanyak 138
Menerusi muat naik di Facebook, Muhammad Kifli turut menjelaskan JPJ telah mengeluarkan sebanyak 9,114 notis saman terhadap pemandu dan pemilik syarikat atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen memandu yang sah dan lesen vokasional (GDL).
“Tindakan lain turut diambil seperti pengeluaran notis temu siasat, arahan pemeriksaan kenderaan, serta sitaan di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987.”


