Resort Tengah Sawah Kantoi Curi Air, Bil Air Bulanan Pernah Cecah Hanya RM36 Sebulan [Video]
Apa yang menjadi perhatian adalah pemilik resort di Sekinchan itu mendakwa tidak tahu tentang penyambungan paip haram kerana baru mengusahakan perniagaan tersebut selepas mengambil alih bangunan daripada pemilik sarang burung walet.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Boleh dikatakan semua pemilik kediaman dan premis di Malaysia mempunyai tanggungan bil utiliti seperti elektrik dan air yang perlu dibayar setiap bulan.
Kebiasaannya, caj yang dikenakan bergantung kepada penggunaan semasa. Jika banyak penggunaannya, maka tinggilah caj yang dikenakan dan sebaliknya.
Namun, ada segelintir individu tidak bertanggungjawab dilihat mengambil kesempatan melakukan penipuan dengan cara tersendiri untuk mengelakkan diri dari membayar harga bil sebenar.
Resort Mewah Tengah Sawah Di Sekinchan Curi Air, Bil Air Bulanan Pernah Cecah RM36 Sebulan
Semalam (7 November), tular di media sosial perkongsian video oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengenai kegiatan tidak bermoral sebuah resort di Sekinchan, Selangor.
Menerusi video yang dikongsikan, kelihatan beberapa anggota SPAN sedang melakukan operasi dan menyoal siasat seorang individu yang dipercayai pemilik resort tersebut.
Memetik Sinar Harian, hasil pemeriksaan di resort di tengah sawah berkenaan mendapati terdapat sambungan paip haram yang terletak di luar kawasan pagar.
Lebih mengejutkan, bil air bulanan premis penginapan yang mempunyai lebih 40 bilik itu pernah mencecah hanya RM36 sebulan.
Bil Air Sepatutnya RM3,000 Sebulan, Pemilik Premis Dakwa Tak Tahu Sambungan Paip Haram
Resort berkenaan yang mengenakan harga bilik bermula RM120 hingga RM500 semalam sepatutnya dikenakan bil air sekitar RM3,000 sebulan setelah mengambil kira faktor seperti kadar penghunian yang mencecah 100% pada musim cuti.
Apa yang menjadi perhatian adalah pemilik resort tersebut mendakwa tidak tahu tentang penyambungan paip haram itu kerana baru mengusahakan perniagaan tersebut selepas mengambil alih bangunan daripada pemilik sarang burung walet.
Hasil siasatan oleh Air Selangor mendapati terdapat tiga paip yang disalur masuk ke dalam premis namun satu daripadanya diputuskan pada hari serbuan.
SPAN & Air Selangor Ambil Masa 6 Jam Cari Punca Paip Sebenar
Malah, SPAN dengan kerjasama Air Selangor mengambil masa 6 jam untuk mencari punca sebenar penyambungan haram tersebut dari paip utama yang berada sejauh 600 meter.
Menurut Pengarah Komunikasi Strategik SPAN, Ts Mohd Fazil Ismail, pemilik premis akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) pindaan 2025.
Jika sabit kesalahan, individu akan dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau dipenjarakan tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Malah, resort itu juga didapati melakukan kesalahan dengan memasang pam air selepas meter bagi menarik tekanan untuk mengisi tangki simpanan yang dilihat jelas melanggar Kaedah 45, Kaedah-Kaedah Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi Air dan Pemasangan Paip) 2014.
Terangnya, paip air perlu dipasang selepas tangki simpanan dan pemilik premis mendakwa tidak mengetahui kesalahan tersebut.
“Pihak operator (Air Selangor) sebelum ini menerima aduan berulang iaitu sebanyak lima kali kerosakan meter. Dalam tempoh aduan itu, sudah dua kali meter ditukar.
“Sangsi dengan aduan yang berulang, selepas diperiksa, kita dapati mereka sengaja memasang pam tambahan yang mengganggu bacaan sebenar,” katanya lagi.
Kegiatan yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada operator air negeri itu dijalankan hasil risikan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui agensinya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Air Selangor.
Selain resort tersebut, terdapat dua lagi lokasi di Selangor yang terlibat dengan sambungan paip haram iaitu kolam memancing di Desa Kemuning, Shah Alam dan depoh logistik yang terletak di Klang yang menggunakan air curi untuk mencuci lori serta jengkaut.
View on Threads
Baca Artikel Berkaitan: Tarif Air Naik Purata 22 Sen Semeter Padu Bermula 1 Februari Ini
Baca Artikel Berkaitan: Kadar Tarif Air Di Malaysia Antara Terendah Di Asia
Habiskan 1/3 dari 24 jam sehari dengan menulis. Isu trending, lifestyle dan apa sahaja yang dekat dengan realiti kehidupan seharian jadi 'makanan' saya di BuzzKini ✍️✨.

