CEO GISBH & 12 Lelaki Dihukum Penjara 15 Bulan, Isterinya Pula Didenda RM4,500
Nasiruddin Mohd Ali dan 12 pemimpin tertinggi GISBH itu dihukum penjara atas kesalahan menganggotai pertubuhan menyalahi undang-undang.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Hari ini (7 November), Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali dan 12 pemimpin tertinggi syarikat itu atas kesalahan menganggotai pertubuhan menyalahi undang-undang.
Sementara isterinya pula dan lapan wanita lain didenda RM4,500 atas kesalahan sama oleh Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar yang bersidang di Kompleks Penjara Kajang.
CEO GISBH dan 21 individu mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan
Sebelum ini, Nasiruddin dan 21 individu lain mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu menjadi anggota GISBH yang juga sebuah pertubuhan menyalahi undang-undang.
Menurut Berita Harian yang memetik Bernama, semua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan hakim.
Kesemua tertuduh adalah:
- Nasiruddin Mohd Ali, 66
- Isterinya, Azura Md Yusof, 58
- Anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi, 33
- Mohd Shukri Mohd Noor, 58
- Muhammad Afdaluddin Latif, 35
- Mohamad Sayuti Omar, 36
- Mohd Fazil Md Jasin, 58
- Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35
- Mokhtar Tajuddin, 61
- Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29
- Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35
- Shuhaimi Mohamed, 57
- Hasnan Abd Hamid, 54
- Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52
- Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28
- Nur Jannah Omar, 33
- Hamimah Yakub, 72
- Asmat@Asmanira Muhammad Ramly, 45
- Nurul Jannah Idris, 29
- Siti Salmiah Ismail, 58
- Siti Hajar Ismail, 52
- Mahani Kasim, 55
CEO GISBH dan 12 lelaki dibebaskan hari ini
Walau bagaimanapun, Nasiruddin dan 12 lelaki terbabit akan dibebaskan dari penjara hari ini (7 November) selepas menjalani tahanan selama 13 bulan dan 20 hari.
Menurut peguam kesemua tertuduh, Datuk Rosli Kamaruddin, meskipun mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 15 bulan, tetapi tempoh itu jika ditolak dengan cuti umum serta hujung minggu akan membolehkan mereka dibebaskan serta merta pada hari ini.
Mereka tidak perlu kembali ke Penjara Sungai Buloh lagi. Semua urusan akan diselesaikan di sini hari ini.
“Selepas proses pengesahan cap jari dan dokumentasi selesai, mereka boleh pulang terus. Tempoh reman selama 13 bulan, ditambah dengan pengurangan hukuman standard sebanyak satu pertiga, melayakkan mereka untuk dibebaskan,” katanya dipetik Berita Harian.
Kesemua tertuduh sebelum ini didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang
Mereka sebelum ini didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
Namun, Jabatan Peguam Negara telah menerima representasi dikemukakan kesemua tertuduh bagi mengkaji pertuduhan dihadapi mereka.
Mengikut pertuduhan pilihan itu, semua mereka didakwa menjadi anggota GISBH yang juga sebuah pertubuhan menyalahi undang-undang di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Susulan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335). Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan Norrinna Bahadun, manakala peguam Datuk Rosli mewakili kesemua tertuduh.
Baca Artikel Berkaitan: Melaka Tarik Semula Gelaran ‘Datuk’ CEO GISBH
Baca Artikel Berkaitan: MP Langkawi Cadang Kerajaan Jadikan Hotel GISBH Sebagai Muzium Ajaran Sesat



