Hilang Sejak 2017, Kerajaan & PDRM Diarah Bayar Lebih RM31 Juta Kepada Waris Pastor Koh
Pastor Raymond Koh diculik ketika memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, dan sehingga kini masih belum ditemui, mengikut pengiraan hari beliau telah hilang selama lebih 3,100 hari.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Semalam (5 Oktober), Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan Kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membayar pampasan melebihi RM31 juta kepada waris Pastor Raymond Koh berhubung dakwaan penglibatan kerajaan dalam kes penculikan individu itu lapan tahun lalu.
Hakim Datuk Su Tiang Joo mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi RM10,000 sehari bermula 13 Februari 2017 iaitu tarikh kehilangan Raymond sehingga dia ditemui.
Memetik Sinar Harian, mahkamah turut memerintah kos sebanyak RM250,000 dibayar kepada pihak plaintif.
Pegawai polis terlibat dalam penculikan Raymond, bertindak mengikut ‘satu arahan’
Semasa prosiding, hakim berkata, satu atau lebih defendan yang terdiri daripada pegawai polis termasuk bekas pegawai didapati terlibat dalam penculikan Raymond.
Menurutnya lagi, kesemua mereka ini bertindak mengikut ‘satu arahan’.
Raymond diculik ketika memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, dan sehingga kini masih belum ditemui, mengikut pengiraan hari beliau telah hilang selama lebih 3,100 hari.
Ketika perbicaraan, mahkamah diberitahu bahawa lima lelaki bertopeng berpakaian seragam hitam menyerupai anggota tentera telah menarik Raymond keluar dari kenderaannya.
Isteri Raymond, Susanna Liew, kemudiannya memfailkan saman terhadap kerajaan dan polis berhubung dakwaan penglibatan pihak berkuasa dalam kehilangan suaminya serta kelemahan siasatan kes tersebut.
KDN nafi laporan kehilangan Raymond telah diubah
Pada 24 September 2024, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan bahawa Laporan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat kehilangan Raymond yang diserahkan kepada keluarga dan peguam telah diubah.
KDN dalam kenyataan menjelaskan bahawa laporan tersebut merupakan dokumen milik kerajaan yang tertakluk di bawah Akta Rahsia 1972 dan Arahan Keselamatan (Semakan dan Pindaan 2017).
Pada 2019, kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kes kehilangan Raymond yang diculik pada 2017 serta aktivis sosial, Amri Che Mat, yang turut dilaporkan hilang pada 2016.
Kerajaan dan PDRM perlu bayar ganti rugi lebih RM3 juta kepada isteri Amri Che Mat
Dalam prosiding sama, hakim turut memerintahkan kerajaan dan pihak polis membayar ganti rugi melebihi RM3 juta kepada isteri Amri, Noorhayati Mohd Ariffin, berhubung kehilangan aktivis itu sembilan tahun lalu.
Perintah tersebut meliputi ganti rugi am dan teruk RM2 juta, ganti rugi teladan RM1 juta, serta ganti rugi khas RM14,457.52.
Kehilangan 5 individu sehingga kini kekal misteri, apakah motifnya?
Untuk info, selain Raymond dan Amri, terdapat tiga lagi individu yang hilang dan sehingga kini kehilangan mereka belum terungkai.
Tiga individu lain adalah:
- Pastor Joshua Hilmy
- Isteri Joshua, Ruth
- Peter Chong
Memetik laporan MalaysiaKini pada 2017, pelbagai persoalan dan spekulasi yang timbul mengenai kehilangan lima individu ini seperti ada yang mengaitkannya dengan penglibatan mereka sebagai aktivis agama dan sosial.
Menurut laporan The Malaysian Insight pada 2019 pula, jurucakap Kumpulan Tindakan Rakyat Terhadap Penculikan (Caged), Rama Ramanathan membangkitkan persoalan mengenai ‘siapa yang memberi arahan untuk menculik Raymond dan Amri?’