Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Lebih 800 kakitangan dan ahli keluarga sebuah agensi kerajaan dilaporkan mengalami keracunan makanan selepas menghadiri program hari keluarga di sebuah teman tema terkenal pada 4 Oktober lalu.
Insiden berkenaan dikatakan mengundang tanda tanya apabila Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor sehingga kini didakwa masih belum mendedahkan hasil siasatan penuh, meskipun insiden telah berlaku lebih sebulan.
Menurut Sinar Harian yang memetik laporan portal Scoop, difahamkan hanya dapur taman tema itu diarahkan tutup selama dua minggu bermula 7 hingga 21 Oktober untuk kerja-kerja pembersihan.
Taman tema kekal dibuka kepada orang awam
Bagaimanapun, taman tema terbabit tidak diarah tutup dan terus kekal dibuka kepada orang awam.
Perkara itu mengundang kritikan ramai apabila timbulnya kebimbangan sekiranya kejadian terbabit mungkin bukan hanya melibatkan makanan yang disediakan, tetapi juga air di kolam dan permainan air di taman tema itu.
Menurut sumber, sebahagian besar peserta mula menunjukkan simptom seperti muntah, cirit-birit, sakit perut dan dehidrasi dalam tempoh sejam selepas menjamu selera.
Antara yang terjejas termasuk kanak-kanak, warga emas dan individu berkeperluan khas.
Beberapa mangsa turut mendapatkan rawatan di hospital akibat dehidrasi dan cirit-birit teruk.
Tiada sampel air yang diabil, hanya sampel makanan diambil untuk ujian
Sumber turut memaklumkan, sampel makanan yang disediakan secara katering dalaman telah diambil untuk ujian, manakala pengendali makanan dipanggil memberi keterangan.
Namun dakwanya, tiada sampel air diambil bagi memastikan sama ada kolam atau permainan air terlibat dalam pencemaran.
Sehubungan itu, agensi kerajaan terbabit kini sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap pengurusan dan pemilik taman tema tersebut.
Sumber tersebut turut mendakwa tiada sebarang usaha daripada pihak taman tema untuk menghubungi mangsa, menawarkan pampasan dan bantuan perubatan.