Polis Tahan Namewee Di Hotel, Disyaki Miliki & Ambil Dadah
Ketua Polis Selangor berkata, suspek ditahan reman selama dua hari sebelum dihadapkan ke mahkamah pada 24 Oktober lalu atas dua pertuduhan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Penyanyi rap tempatan, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee ditahan polis selepas disyaki memiliki dan menggunakan dadah di sebuah hotel di ibu negara pada 22 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dalam satu kenyataan hari ini (3 November) berkata, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menahan lelaki berusia 42 tahun itu sekitar jam 4.30 petang pada hari kejadian.
Polis temui 9 biji pil ekstasi dan suspek positif dadah
“Hasil pemeriksaan di bilik hotel berkenaan menemui sembilan biji pil berwarna biru disyaki pil ekstasi dengan anggaran berat 5.12 gram.
“Suspek kemudian dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin dan THC,” katanya dipetik Berita Harian.
Suspek dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan berkaitan dadah
Menurutnya, suspek ditahan reman selama dua hari sebelum dihadapkan ke mahkamah pada 24 Oktober lalu atas dua pertuduhan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 39A(1) akta sama kerana memiliki dadah, manakala bagi pertuduhan kedua Seksyen 15(1)(a) akta sama atas kesalahan menggunakan dadah.
“Suspek mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan dan mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan. Tarikh sebutan semula kes dijadualkan pada 18 Disember ini,” katanya.
Namewee nafi miliki dan ambil dadah
Bagaimanapun Namewee menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya semalam (2 November) menafikan tentang perkara itu.
Memetik The Star, penyanyi itu menafikan dakwaan menggunakan dadah dan sebarang penglibatan dalam kematian influencer Taiwan, Iris Hsieh.
Ujarnya, kebenaran akan muncul apabila laporan polis dikeluarkan dalam beberapa bulan akan datang.



