Khairy Jamaluddin Akan Sertai UMNO Semula?
Tambah laporan sama, sumber turut menyebut yang KJ juga sudah dipertimbangkan untuk menjadi calon BN untuk Parlimen Kepala Batas bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkemungkinan akan kembali ke pangkuan Umno menjelang pilihan raya negeri (PRN) Sabah, pada 29 November ini.
Menurut Berita Harian yang memetik sumber, berkata bekas Ahli Parlimen Rembau itu sudah pun mendapat ‘restu’ pimpinan tertinggi UMNO khususnya Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali menyertai parti itu.
Ini selepas Zahid yang juga Timbalan Perdana Perdana Menteri secara peribadi memberi isyarat berkenaan ketika bertemu KJ sewaktu majlis perkahwinan anak Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman, pada Ahad, 26 Oktober lalu.
Zahid minta KJ hantar borang – Sumber BH
“Pada pertemuan itu Zahid sendiri memaklumkan supaya Khairy menghantar borang keahliannya untuk kembali menjadi ahli UMNO.
“Khairy dijangka membantu kempen UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Sabah nanti. Ini memandangkan sebahagian calon yang bakal ditampilkan parti nanti adalah seusia dan rakan-rakan politiknya,” katanya.
Tambah laporan sama, sumber turut menyebut yang KJ juga sudah dipertimbangkan untuk menjadi calon BN untuk Parlimen Kepala Batas bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang.
“Parlimen itu adalah kawasan tradisi bapa mentuanya, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya dipetik Berita Harian.
Pun begitu, sumber UMNO yang dihubungi Berita Harian menjelaskan parti itu belum ada menerima apa-apa surat permohonan daripada KJ untuk kembali menyertai mereka.
KJ masih cintakan UMNO – Reezal Merican
Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan KJ sebenarnya masih setia dan sentiasa sayangkan parti itu.
Malah beliau sendiri ada bertemu dengan penyampai radio Hot FM itu sewaktu majlis perkahwinan terbabit.
“Saya ada masa kenduri itu, saya ada sekali dengan dia, saya duduk dengan dia. Cuma satu benda saya boleh maklumkan memang kasih dan cinta Khairy ini hanya pada Umno sahaja. Itu saya boleh sahkan.
“Tapi (berkaitan dakwaan sertai semula Umno) bukan keputusan saya, keputusan pimpinan atasan dan keputusan MKT dan saya tidak bolehlah mendahului,” kata Reezal dipetik FMT.
Beliau yang tidak dapat mengesahkan mengenai spekulasi yang KJ akan bertanding di Kepala Batas bagaimanapun berharap usaha membawa menantu bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad badawi itu akan membuahkan hasil.
“Itu pun saya tak dapat nak sahkan. Saya ini ahli parti kan… benda itu akan ditentukan oleh pimpinan di peringkat atas,” katanya.
KJ dan Shahril Hamdan duduk semeja bersama Reezal di majlis sama
Menerusi semakan kami, Reezal Merican juga ada berkongsi foto sewaktu majlis tersebut yang memperlihatkan KJ sememangnya bertemu dan bersalaman bersama Zahid.
Selain KJ, pasangannya di podcast Keluar Sekejap, Shahril Sufian Hamdan yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO turut hadir dan dilihat duduk semeja bersama Reezal.

KJ tunggu ‘suka sama suka’ baru sertai UMNO semula
KJ pada Mei lalu mendedahkan ada menerima pelawaan untuk menyertai parti politik lain namun jiwanya masih bersama UMNO yang sudah menjadi wadah perjuangannya sejak dulu.
Tegas KJ, beliau menunggu saatnya ketika UMNO dan beliau sendiri berada dalam situasi ‘suka sama suka’ untuk kembali ke parti tersebut.
Kenyataan itu dikeluarkan KJ selepas lebih dua tahun dipecat UMNO atau lebih tepatnya pada 27 Januari 2023.
Sebagai info, sewaktu PRU 15, Reezal yang merupakan penyandang dan bertanding mewakili BN di Kepala Batas tewas di tangan calon PN, Siti Mastura Muhammad.



