fbpx
Now Reading
Kes Budak 6 Tahun Dikelar Ketika Tidur, Ibu Bapa Ditahan Polis

Kes Budak 6 Tahun Dikelar Ketika Tidur, Ibu Bapa Ditahan Polis

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ibu bapa kanak-kanak enam tahun yang dikelar itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sejak semalam, kecoh mengenai berita seorang kanak-kanak berusia enam tahun dikelar ketika sedang tidur di sebuah rumah di Kampung Parit Nipah Laut, Parit Raja, Johor.

Kejadian dipercayai berlaku awal pagi semalam selepas ibunya yang terjaga dari tidur menjenguk anaknya di bilik kira-kira pukul 5.30 pagi sebelum menemui mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

Pihak polis yang menerima laporan berhubung kejadian kemudiannya menyiasat kes terbabit di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata atau benda yang merbahaya.

Ibu bapanya ditahan polis untuk bantu siasatan

Ibu bapa kepada kanak-kanak itu kemudiannya ditahan polis pada pukul 4 petang hari yang sama di perkarangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Batu Pahat bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kedua-duanya yang berusia 41 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 KK.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu kesalahan membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak. Ibu bapa kanak-kanak terbabit akan dibawa ke Mahkamah Batu Pahat esok untuk permohonan reman,” katanya dipetik Kosmo.

Tiada saluran darah terputus, mangsa berada dalam keadaan stabil

Terdahulu, mangsa bernasib baik kerana tiada sebarang saluran darah yang terputus. Dia kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

Menurut Shahrulanuar, mangsa juga sudah boleh bercakap dan pihak polis akan melengkapkan siasatan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Sebelum ini, ibu mangsa yang membuat pemeriksaan selepas melihat anaknya dalam keadaan sedemikian telah menemukan dua bilah pisau berhampiran bantal tempat tidur anaknya selain pintu hadapan rumah juga dalam keadaan sedikit terbuka.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.