Penyakit Jantung Antara Punca Jemaah Gagal Terima Tawaran Haji – Menteri Agama
Menurut Mohd. Na’im, penilaian kesihatan ketat perlu dilakukan termasuk mereka yang menghidap kencing manis, darah tinggi bagi memastikan hanya jemaah benar-benar sihat dibenarkan berangkat ke Tanah Suci.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada baru-baru ini telah mengumumkan syarat kesihatan untuk menunaikan haji bagi musim 2026.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Lembaga Tabung Haji (TH) semalam (22 Oktober), syarat-syarat tersebut akan dikuatkuasakan dan para jemaah perlu mematuhinya bagi mendapatkan visa haji.
Berikut syarat-syarat tersebut:
- Bebas dari penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik tidak terkawal.
- Berupaya menjalankan ibadah haji dengan sendiri.
Penyakit kronik sepeti jantung antara punca jemaah gagal ditawar tunai haji
Terbaharu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, penyakit kronik seperti jantung antara punca utama yang menyebabkan 3% bakal jemaah gagal menerima tawaran bagi menunaikan haji pada musim depan.
Menurutnya, penilaian kesihatan ketat perlu dilakukan termasuk mereka yang menghidap kencing manis, darah tinggi bagi memastikan hanya jemaah benar-benar sihat dibenarkan berangkat ke Tanah Suci.
“Berdasarkan pengalaman saya sendiri ketika menunaikan haji tahun ini, cuaca di Arab Saudi sangat panas dan hampir semua kes kematian dalam kalangan jemaah disebabkan kegagalan jantung. Jadi, aspek kesihatan sangat penting dan kita mahu pastikan keselamatan jemaah haji yang berangkat,” katanya dipetik Kosmo.
Gagal penuhi syarat kesihatan tak bermakna hilang peluang tunai haji selama-lamanya
Namun menurut beliau lagi, kegagalan itu tidak bermakna bakal jemaah haji itu hilang peluang selama-lamanya.
“Jika mereka berusaha memperbaiki tahap kesihatan dan kembali layak, tawaran menunaikan haji akan diberikan semula pada masa depan.
“Tabung Haji (TH) sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan termasuk dalam menambah baik aspek saringan kesihatan ini. Jadi, kita berharap yang benar-benar sihat akan menunaikan ibadah haji,” jelasnya.
Ada perubahan pada modul kursus haji susulan syarat baharu kerajaan Arab Saudi
Dalam pada itu, Mohd. Na’im juga tidak menafikan bahawa terdapat perubahan pada modul kursus haji susulan syarat baharu kerajaan Arab Saudi.
“Oleh kerana penekanan diberikan oleh kerajaan Arab Saudi dalam memastikan jemaah ini sihat, sudah tentu modul haji dengan penekanan juga akan diberikan kepada isu kesihatan.
“Selain itu, sekiranya jemaah yang mempunyai penyakit kronik tidak diluluskan untuk menunaikan haji maka tiada lagi pengiring (di kalangan ahli keluarga seperti dilakukan sebelum ini),” katanya.
“Kalau tak sihat, jangan paksa diri tunai haji” – Ustaz Daud
Sementara itu, Memetik Sinar Harian, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours, Datuk Md Daud Che Ngah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Daud berkata syarat kesihatan ketat yang diperkenalkan itu bukan sekadar peraturan baharu, tetapi peringatan besar tentang makna sebenar istito’ah iaitu kemampuan untuk beribadah dengan tubuh dan jiwa yang kuat.
Susulan itu, beliau yang juga bekas Pengurus Besar Bimbingan Haji TH berpesan kepada semua bakal jemaah haji agar tidak memaksa diri sekiranya berasa tidak sihat.
Jelasnya, seseorang itu wajib menunaikan haji hanya apabila memenuhi enam syarat utama, antaranya mempunyai kemampuan kewangan, kenderaan pergi dan balik yang selamat serta sihat tubuh badan.
Malah katanya, dalam hadis juga banyak menyebut perkara tentang kesihatan tubuh badan dan tidak boleh dipandang ringan.
Kos Haji bagi jemaah muassasah kekal seperti tahun sebelum ini
Terdahulu, TH mengumumkan bahawa Kos Haji dan Kadar Bayaran Haji bagi jemaah Muassasah dikekalkan untuk musim haji 1447H/2026M iaitu sama seperti musim haji yang lalu.
Ini menjadikan kos keseluruhan untuk menunaikan haji musim haji 2026 dikekalkan pada kadar RM33,300 untuk seorang jemaah Muassasah.
TH turut mengumumkan Bayaran Haji kekal untuk semua kumpulan dan pada masa yang sama masih menanggung Bantuan Kewangan Haji.
Baca Artikel Berkaitan: “Pakcik Sanggup Hilang Harta Dunia” – Peniaga Martabak Jual Rumah Demi Tunai Haji
Baca Artikel Berkaitan: TH Bimbang 50% Pendeposit Tolak Tawaran Haji Kerana Masalah Kewangan



