Majoriti Kes Rogol Di Kelantan Berlaku Kerana Suka Sama Suka – Ketua Polis Kelantan
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat turut mencadangkan agar masyarakat mengembalikan semula sikap ‘jaga tepi kain orang’ dalam menangani isu gejala sosial dan jenayah yang berlaku.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada minggu lalu, kecoh di media sosial kes rogol bergilir-gilir melibatkan pelajar sebuah sekolah di Melaka.
Bukan itu sahaja, beberapa hari kemudiannya muncul pula kes yang sama melibatkan pelajar di sebuah sekolah yang terletak di Baling, Kedah.
Insiden sebegini nyata mendapat perhatian pengguna media sosial hingga ramai yang risau melihat situasi semasa melibatkan individu bawah umur pada ketika ini.
Baca Artikel Berkaitan: Lagi Kes Rogol Berkumpulan Di Sekolah, 3 Pelajar & Bekas Pelajar Ditahan Polis
Majoriti Kes Rogol Di Kelantan Kerana Suka Sama Suka, Ada Seminggu Kenal Sudah Bersama
Terbaharu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mendedahkan kes rogol di negeri tersebut meningkat dengan kebanyakannya berlaku atas dasar suka sama suka.
Jelas beliau, kes rogol di negeri yang terkenal dengan gelaran Cik Siti Wan Kembang itu merekodkan 131 kes sepanjang Januari hingga September lalu berbanding 114 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.
“Majoriti kes rogol di Kelantan adalah suka sama suka dan di bawah umur yang mana kes ini akhirnya keluarga atau pihak hospital tahu, mereka tampil membuat laporan polis.
“Mungkin ada juga yang tidak membuat laporan polis kerana keluarga malu selepas ia membabitkan kes suka sama suka.
“Kes rogol yang kita kesan setakat ini berlaku di rumah mereka sendiri iaitu ada yang mengikut lelaki pergi rumah atau lelaki dijemput datang rumah perempuan. Ada juga situasi baru kenal seminggu sudah ‘bersama’.
“Selain itu, ada yang melakukan perbuatan terkutuk itu di hotel bajet,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Ingatkan Ibu Bapa Pantau Anak-Anak
Malah, Mohd Yusoff turut mengingatkan agar ibu bapa memantau pergerakan anak-anak selain meminta semua pihak mengambil tanggungjawab bagi menangani kes jenayah itu.
“Dengan keadaan sekarang kita perlu mengambil tahu keadaan sekeliling, bukannya bersikap tidak mengambil peduli,” terangnya lagi.
Saran Masyarakat Wujudkan Sikap ‘Jaga Tepi Kain Orang’
Memetik Sinar Harian, beliau turut mencadangkan agar masyarakat mengembalikan semula sikap ‘jaga tepi kain orang’ dalam menangani isu gejala sosial dan jenayah yang berlaku.
“Kita hidup perlu ada kaedah jaga tepi kain orang, barulah ada maklumat yang boleh disampaikan kepada polis,” ujarnya.
Jaga Tepi Kain Bukan Bermaksud Mengumpat Atau Membawang
Terangnya, konsep menjaga tepi kain orang yang dimaksudkan bukanlah untuk mengumpat atau membawang, sebaliknya masyarakat perlu peka dan cakna dengan keadaan sekeliling.
Ia bertujuan bagi mengambil tahu tentang perkembangan serta keadaan semasa rakan, jiran dan persekitaran.
Jelasnya lagi, sekiranya seseorang itu melihat sesuatu yang pelik atau tidak baik, ia seharusnya dilaporkan.
“Terutamanya melibatkan kes rogol. Jenayah ini sekarang banyak yang melibatkan suka sama suka serta bawah umur.
“Lokasi kejadian pula ada yang berlaku di rumah lelaki mahupun perempuan.
“Disebabkan itu, sikap jaga tepi kain orang perlu dipraktikkan kembali oleh masyarakat supaya perkara seperti ini dapat dibendung,” katanya lagi.
Sebelum ini, beliau ada menyarankan supaya tindakan undang-undang turut diambil terhadap mangsa atau pengadu sekiranya terbukti perbuatan seks bawah umur itu dilakukan secara suka sama suka.
Jelas beliau, undang-undang sedia ada lebih menjurus kepada pendakwaan terhadap lelaki walhal siasatan mendapati banyak kes yang mana kedua-dua pihak sama-sama rela.
Meskipun dikritik segelintir pihak, kerajaan Kelantan berpendapat cadangan itu wajar diteliti.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Rogol, Dadah & Senjata Api Di Kelantan Meningkat – PDRM
Baca Artikel Berkaitan: Syak Anak Usia 15 Tahun Tawar Perkhidmatan Seks Di Telegram, Ibu Buat Laporan Polis



