“Mana Sweeper?” – Pendaki Maut Di Gunung Liang, Ramai Persoal Kenapa Mangsa Ditinggalkan Sendirian
Menurut Pemangku Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak, kali terakhir mangsa, Mustaqqeem Mansoor dilihat adalah pada 14 Oktober lepas sekitar jam 10.30 malam di puncak Gunung Liang Barat dalam keadaan sakit kaki dan berjalan perlahan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak dua hari lalu selepas mendaki Gunung Liang, Tanjong Malim, Perak ditemukan maut pada petang semalam (16 Oktober).
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, mangsa Mustaqqeem Mansoor, 34, dari Sungai Petani, Kedah ditemukan pada jam 3.30 petang di puncak Gunung Liang Barat.
“Ketua operasi melakukan pencarian mangsa dengan mengaplikasikan konsep LAST dan mengikuti peta laluan pendakian sehingga ke lokasi terakhir mangsa dipercayai hilang,” katanya dipetik Bernama.
Mangsa mulakan pendakian dengan 10 rakan, kali terakhir dilihat dalam keadaan sakit kaki
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu melibatkan 22 anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Pasukan Bantuan Sukarela (PBS) Slim Village dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Ujar Shazlean, mangsa bersama 10 rakan memulakan pendakian dari Bukit Fraser, Pahang pada 10 Oktober lalu dan dijualkan turun di Gunung Liang.
Katanya, bagaimanapun kali terakhir mangsa dilihat adalah pada 14 Oktober lepas sekitar jam 10.30 malam di puncak Gunung Liang Barat dalam keadaan sakit kaki dan berjalan perlahan.
Bomba guna helikopter bawa turun jenazah mangsa
Menurutnya lagi, helikopter bomba dijangka digunakan bagi membawa turun mangsa dari lokasi kejadian pada jam 9 pagi hari ini (17 Oktober).
“Berdasarkan laporan dari Unit Udara Bomba, penggunaan helikopter tidak dapat dilakukan pada masa ini atas faktor cuaca, maka pasukan penyelamat kedua akan naik ke atas bersama kelengkapan bagi menggantikan pasukan penyelamat pertama.
“Pasukan berkenaan akan bermalam di atas puncak Gunung Liang, manakala kerja-kerja membawa turun mangsa menggunakan helikopter akan dilaksanakan pada 9 pagi,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan mangsa dipercayai hilang ketika melakukan aktiviti mendaki bersama 10 rakan di Gunung Liang dengan pasukan bomba melakukan SAR.
Ramai persoal kenapa MGP tinggalkan mangsa di atas puncak gunung
Laporan berita yang tular di media sosial membuatkan ramai yang tertanya dan mempersoal bagaimana pihak penganjur termasuk Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang terdiri daripada lead dan sweeper boleh meninggalkan mangsa sendirian di atas puncak gunung terbabit.
Seorang pengguna Facebook bernama Ridzuan Wanz yang sering memasuki hutan mencari hasil berkata, dia menyifatkan perbuatan MGP meninggalkan mangsa sendirian adalah ‘sesuatu yang sangat kurang ajar’.
“Prinsip utama kena ada dalam kepala, pergi balik mesti dalam keadaan selamat dan cukup, pergi 10 orang balik pun 10 orang.
“Jadi inti yang saya nak bagitau dekat sini adalah apa juga keadaan, jangan bersikap pentingkan diri, team awak adalah rakan awak. Krisis boleh dielakkan dengan kerjasama smart team, sembilan yang sihat perlu ada rasa tanggungjawab,” katanya.

Pengguna Facebook Amanda Omeychua atau nama sebenarnya May Lie Laili yang juga seorang pendaki gunung turut menyifatkan insiden tersebut sebagai suatu kecuaian kerana sembilan lagi pendaki seharusnya menunggu mangsa yang berada dalam keadaan sakit kaki pada ketika itu.
“Sepatutnya keluar sama-sama, bukan biarkan seorang di atas gunung, gila apa MGP begini, kawan dia pun gila, kalau tiada kesabaran tolong jangan jadi guide, sweeper atau pendaki lah,” kata Amanda.

Pengasas EA Travel & Adventure, Nurulhuda Mdaris turut mempersoalkan perkara sama.
“Kes kematian di puncak gunung, MGP dengan sweeper jawablah. Gogo (organizer) pun tak nak jawab ke? Waktu pergi kelas MGP tak belajar ke tentang keselamatan? Bila senang sangat dapat MGP inilah hasilnya,” tulisnya di Facebook.
Di ruangan komen ketiga-tiga posting terbabit, kebanyakan pengguna media sosial turut mempersoal perkara sama dan bersetuju dengan pandangan yang diberikan.
Pada pendapat mereka, mangsa mungkin boleh diselamatkan sekiranya tidak dibiarkan di atas puncak Gunung Liang Barat seorang diri.
Malah, ramai yang menggesa pihak berkuasa termasuk Jabatan Perhutanan untuk melakukan siasatan terhadap penganjur dan malim gunung bertugas.



