Ujian Berganda, Pagi Kebumikan Abang Ipar Petang Anak Pula Ditemukan Lemas
Difahamkan, kejadian tragis itu berlaku kira-kira jam 6.50 petang semalam (15 Oktober) sewaktu kebanyakan ahli keluarga Sheikh Mohd Hilmi Safwan Sheikh Mohd Anuar sedang berehat sebaik selesai membuat persiapan kenduri tahlil abang iparnya di Kampung Seri Paya Laut, Parit Raja, Johor.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Jika sudah namanya manusia, pasti tidak lari dari diuji dengan ujian dan cabaran dalam kehidupan.
Setiap ujian yang datang pula berbeza mengikut kemampuan dan keadaan individu itu sendiri.
Namun apa yang pasti, ia bertujuan untuk mengajar seseorang itu tentang kesabaran dan ketabahan dalam kehidupan.
Lelaki Sedih Anak Ditemui Lemas Dalam Kolam Ikan Selepas Persiapan Kenduri Tahlil Abang Ipar
Itulah yang dihadapi oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Sheikh Mohd Hilmi Safwan Sheikh Mohd Anuar apabila anak lelakinya Sheikh Muhammad Iffat Nazril ditemui lemas dalam kolam ikan di hadapan rumah keluarga mentuanya.
Lebih menyayat hati, pemergian si cilik yang dipanggil ‘adik’ dan baru berusia 26 bulan itu adalah pada hari yang sama dia kehilangan abang iparnya.
“Pagi semalam (15 Oktober) kami sekeluarga kebumikan abang ipar, namun tidak disangka pada petang hari sama anak saya pula lemas,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Kejadian tragis itu berlaku kira-kira jam 6.50 petang semalam (15 Oktober) sewaktu kebanyakan ahli keluarga sedang berehat sebaik selesai membuat persiapan kenduri tahlil di Kampung Seri Paya Laut, Parit Raja, Johor.
Si Bapa Tiada Di Rumah Ketika Kejadian Kerana Bekerja
Jelas Sheikh Mohd Hilmi yang merupakan anggota polis di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri, Muar, dia tiada di lokasi kejadian kerana sedang bekerja.
“Waktu kejadian situasi di rumah keluarga mentua agak ramai, masing-masing kepenatan untuk tahlil malam itu. Anak saya pula masa itu baru lepas mandi.
“Pada mulanya dia masuk ke dalam bilik berdekatan ruang tamu. Selepas mempersiapkan diri, isteri saya, Nurul Ellyyana Sarmidee keluar bertanya mana Adik.
“Kami lihat dia tiada dalam bilik, pintu hadapan tertutup cuma pintu ke tandas belakang rumah terbuka. Ada kemungkinan adik keluar melalui pintu itu.
“Di situ ada kolam tapi kami tidak pernah ke kawasan itu kerana bersemak dan tiada apa yang menarik,” terangnya.
Malah, dia dilihat cuba menguatkan semangat untuk berhadapan dengan ujian sebegitu selepas kehilangan anak bongsu daripada tiga beradik itu.
Tak Pernah Bawa Anak-Anak Ke Kolam, Ahli Keluarga Tergerak Hati Cari Anak Di Kolam
Kongsi Sheikh Mohd Hilmi, arwah anaknya itu tidak pernah pergi ke kolam berkenaan kerana jaraknya yang agak jauh dari kawasan rumah keluarga mentua.
“Kami semua keluar mencarinya sehinggalah ada seorang ahli keluarga tergerak hati bila teringat Adik pernah memberitahu hendak ke sana, cuma dilarang oleh ahli keluarga.
“Bila kami ke kolam, barulah jumpa Adik dalam keadaan tidak sedarkan diri. Abang ipar terus terjun dan membawa Adik naik.
“Sewaktu abang ipar terjun, kedalaman kolam itu hampir dua meter disebabkan baru lepas hujan. Siapa sangka, saya tidak pernah membawa anak-anak ke kolam sebelum ini,” terangnya.
Arwah Ada Tunjukkan Perubahan, Terlalu Aktif Berbanding Kebiasaan
Jelas Sheikh Mohd Hilmi, arwah dipercayai tergelincir memandangkan terdapat kesan pada tepi kolam terbabit.
Malah sewaktu ditanya tentang perubahan arwah, Sheikh Mohd Hilmi menjelaskan anaknya itu dilihat terlalu aktif berbanding kebiasaan sewaktu bermain bersama ahli keluarga.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani menjelaskan jenazah kanak-kanak berkenaan telah dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.
“Siasatan dijalankan sebagai mati mengejut dan pada masa sama, kita juga membuka kertas siasatan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: “9 Tahun Kami Tunggu Zuriat” – Suami Isteri Reda Anak Ditemui Mati Lemas Bersama Datuknya
Baca Artikel Berkaitan: Tular Video Budak 4 Tahun Lemas Dalam Kolam, Polis Tahan Abang Tiri Mangsa



