“Dunia Ini Palsu, Saya Sudah Menang” – Nota Terakhir Suspek Tikam Pelajar Perempuan Tingkatan 4
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, surat itu berjaya dirampas semasa tangkapan dan pemeriksaan awal terhadap suspek berusia 14 tahun itu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pihak polis hari ini (15 Oktober) mengesahkan telah merampas surat yang dipercayai nota terakhir ditulis pelajar lelaki Tingkatan Dua yang menikam seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di tandas sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, semalam (14 Oktober).
Berdasarkan surat yang tular di media sosial itu, tertera tulisan di dalam bahasa Mandarin dan perkataan ‘Zero Day’.
“Semua orang akan mati nanti. ‘Zero Day’. Komuniti, masyarakat dan sekolah semuanya adalah NPC (Non-Player Character),” terjemahan tulisan itu.
Pun begitu, memetik laporan Kosmo, tulisan yang tertera itu bermaksud ‘Dunia ini palsu, saya sudah menang’.
Surat berjaya dirampas semasa suspek ditangkap polis
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, surat itu berjaya dirampas semasa tangkapan dan pemeriksaan awal terhadap suspek berusia 14 tahun itu.
“Surat itu ditemui pada suspek semasa tangkapan dan bukannya di dalam tandas (lokasi pembunuhan). Ia (surat) itu dalam siasatan pegawai penyiasat,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Menurutnya, seramai 57 keterangan telah direkodkan setakat ini melibatkan pelajar sekolah, guru, ahli keluarga dan wakil kaunseling sekolah.
Siasatan kes dijalankan secara menyeluruh termasuk CCTV
Jelas Shazeli, siasatan juga dijalankan secara menyeluruh termasuk rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) serta penilaian latar belakang mangsa dan suspek.
“Siasatan pada peringkat ini mendapati tiada unsur buli terlibat.
“Pihak polis memandang serius insiden ini dan menyeru semua pihak termasuk sekolah dan masyarakat untuk bekerjasama memastikan keselamatan para pelajar sentiasa terpelihara,” katanya.
Pelajar dakwa terdengar suspek berbisik ‘you see later, what happen’ kepada rakan
Sementara itu, memetik Harian Metro, seorang pelajar mendakwa dia terdengar suspek berbisik kepada rakannya dengan mengatakan ‘you see later, what happen’ (awak lihat nanti, apa yang akan berlaku) ketika mereka sedang berkumpul sebelum masuk ke kelas.
Dakwanya, ketika itu secara kebetulan dia berada di belakang pelajar terbabit namun mengakui tidak mengenali dan berkawan dengan remaja lelaki terbabit.
“Kami juga ada nampak pelajar itu ada bawa senjata,” dakwanya.
Gempar pelajar perempuan Tingkatan 4 maut ditikam pelajar Tingkatan 2
Terdahulu, negara dikejutkan dengan berita kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya dipercayai ditikam pelajar lelaki Tingkatan Dua.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat insiden berkenaan berlaku di kawasan tandas pelajar perempuan sekitar jam 9.10 pagi hari ini (14 Oktober).
Jelas beliau, perkara itu disedari seorang guru selepas mendengar bunyi jeritan mangsa.
Baca Artikel Berkaitan: Pelajar Perempuan Tingkatan 4 Maut Ditikam Pelajar Lelaki Tingkatan 2 Di Sekolah Di Bandar Utama



