Belanjawan 2026: Ini Antara Peruntukan Kerajaan Buat Wanita & Anak Muda
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dana Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM2.9 bilion yang bakal memanfaatkan lebih 300 ribu usahawan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi parlimen hari ini (10 Oktober) telah membentangkan Belanjawan 2026.
Di bawah belanjawan ini, sebanyak RM470 bilion diperuntukkan oleh kerajaan, yang menunjukkan peningkatan berbanding Belanjawan Disemak 2025.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, golongan wanita dan anak muda juga tidak ketinggalan dan turut diberi tumpuan oleh kerajaan.
Baca Artikel Berkaitan: Belanjawan 2026: Pensyarah IPTA Boleh Ambil Sabatikal Setahun Bagi Pengkomersialan Hasil R&D
Baca Artikel Berkaitan: Belanjawan 2026: Mahu Tarik 47 Juta Pelancong, Pulau Langkawi Jadi Fokus Destinasi Utama
Dana RM270 Juta Tersedia Buat Usahawan Wanita PKMS
Sebagai sokongan terhadap usahawan wanita dalam Perusahaan Kecil, Mikro dan Sederhana (PKMS), pembiayaan sebanyak RM270 juta akan disediakan menerusi Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional (BSN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan SME Bank.
Malah, sebanyak RM2.9 bilion dana Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) disediakan yang bakal memanfaatkan lebih 300 ribu usahawan termasuk wanita.
Tambah Anwar lagi, kerajaan menerusi Suruhanjaya Sekuriti akan berusaha meningkatkan penyertaan wanita dalam kepimpinan urus korporat.
“Setakat 1 Oktober, 45% syarikat senaraian awam memenuhi 30% ahli lembaga pengarah wanita. Namun, masih terdapat 8 syarikat tiada ahli lembaga wanita,” jelasnya.
5,000 Ibu Tunggal Miskin Boleh Dapatkan Bantuan Guaman
Di samping itu, kerajaan turut memberi tumpuan terhadap wanita dari segi undang-undang.
Kata Anwar, sebanyak 5,000 ibu tunggal miskin yang memerlukan bantuan guaman akan menerima bantuan bagi penyelesaian kes-kes mahkamah.
Ini termasuklah dalam kes perceraian dan hak penjagaan anak.
Pelepasan Cukai Tadika Diperluaskan Kepada Pusat Jagaan & Transit Berdaftar
Umum sedia maklum bahawa kerajaan memberikan pelepasan cukai pendapatan individu pada had RM3,000 bagi yuran taska atau tadika kanak-kanak sehingga usia enam tahun.
Di bawah Belanjawan 2026, Anwar berkata pelepasan cukai ini diperluaskan kepada pusat jagaan harian atau pusat transit berdaftar bagi anak yang berumur sehingga 12 tahun bermula tahun taksiran 2026.
PLKN Akan Diadakan Pada Tahun 2026 Buat Anak Muda
Bermula tahun hadapan, had umur belia akan ditetapkan kepada 15 hingga 30 tahun.
Anwar berkata tindakan ini bertujuan agar menjadikan penyertaan dan sumbangan golongan belia kepada kemajuan negara lebih terarah dan benar-benar berkesan.
Dalam pada itu, Program Latihan Khidmat Negara 2026 akan dilaksanakan sebagai usaha membina jati diri, semangat kenegaraan dan kesukarelawanan anak muda.
Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM250 juta, di samping memulakan PLKN secara rintis di peringat pendidikan tinggi sebelum pelaksanaan penuh pada 2027.
Kerajaan Sedia Dana Untuk Tingkat Kebolehpasaran & Bantu Anak Muda Dalam Perniagaan
Belanjawan 2026 turut memberikan tumpuan dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Sebanyak RM200 juta akan disediakan oleh Khazanah bagi Program K-Youth yang menyediakan latihan sambil bekerja buat 11,000 belia tanpa ijazah dalam sektor strategik termasuk semikonduktor, jentera, MRO, digital dan teknologi.
“Industrial Boot Camp (IBC) MARA berjaya melatih hampir 5,000 peserta dengan jaminan pekerjaan. Hampir 30 juta ringgit disediakan bagi meneruskan manfaat IBC,” ujar Anwar.
Dalam masa sama, kerajaan turut menggalakkan penyertaan anak muda dalam bidang perniagaan.
Menerusi BSN, pembiayaan berjumlah RM150 juta disediakan kepada usahawan belia yang berumur 30 tahun ke bawah.
Manakala Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera SME Corp pula menyediakan RM12 juta untuk latihan dan bantuan perniagaan.
Tambah Anwar, kerajaan juga akan terus menanggung bayaran bagi mendapatkan lesen motosikal kelas B2 bagi belia kurang mampu yang terlibat dalam perkhidmatan penghantaran.



