Warga Emas Terima Bantuan Kerajaan Kantoi Beli Nombor Ekor Selepas Dapat Mimpi
Warga emas berkenaan berkata dia sedar aktiviti berjudi seperti membeli nombor ekor adalah haram namun sukar untuk meninggalkan tabiat tersebut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Umum mengetahui aktiviti berjudi seperti membeli nombor ekor dan sebagainya adalah perkara yang haram untuk dilakukan oleh umat Islam.
Malah aktiviti ini bukan sahaja berdosa sebaliknya, melalaikan seseorang individu serta menyebabkan ketagihan untuk membeli sehingga berjaya memenangi sejumlah wang.
Apabila sudah menang pastinya aktiviti tersebut tidak terhenti di situ sebaliknya akan membeli lagi dan lagi untuk mendapat kemenangan wang yang lebih besar.
Warga emas ditahan kantoi tengah beli nombor ekor di Johor
Terbaharu, seorang warga emas di Kota Tinggi, Johor ditahan oleh anggota Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sewaktu sedang membeli nombor ekor pada petang semalam (8 Oktober).
Jelas jurucakap JAINJ, lelaki warga emas yang berusia 75 tahun itu mendakwa dia sudah lama terbabit dalam aktiviti berjudi lebih 40 tahun lalu serta masih lagi ‘mencuba nasib’ meskipun mempunyai kewangan yang terhad.
“Lelaki itu mendakwa tinggal seorang diri di sebuah rumah kampung. Anggota penguat kuasa kemudiannya ke rumahnya untuk mengesahkannya tidak mempunyai penjamin dalam kalangan ahli keluarga.
“Warga emas terbabit tidak bekerja dan menerima bantuan kerajaan berjumlah RM600 sebulan. Dia pernah bernikah dan berpisah puluhan tahun lalu,” jelasnya, lapor Harian Metro.
Mengaku beli nombor ekor berdasarkan mimpi, tahu judi adalah haram namun sukar tinggalkan tabiat
Ujar JAINJ lagi, warga emas itu turut mengaku membeli nombor pada setiap bulan mengikut mimpinya.
Tambahnya, selain itu lelaki berkenaan juga mendakwa dia sedar bahawa aktiviti berjudi adalah haram serta merugikan namun sukar untuk meninggalkan tabiat terbabit.
“Ketika ditahan, dia sedang beli nombor ekor sebanyak RM8 di kedai nombor ekor.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Enakmen Kesalahan Jenayah Johor dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dipenjarakan selama dua tahun atau kedua-duanya sekali.”



