fbpx
Now Reading
Pernah Ditahan Sebelum Ini, Anak Dr Fauziah Bimbang Keadaan Ibu Yang Ditahan Israel

Pernah Ditahan Sebelum Ini, Anak Dr Fauziah Bimbang Keadaan Ibu Yang Ditahan Israel

Anak kepada pasangan Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali dan Dr Fauziah Hassan, Shamil Mohd Alauddin sempat berhubung dengan ibu bapanya semalam (7 Oktober) menerusi panggilan video sekitar jam 6 petang waktu Malaysia (12 tengah hari waktu tempatan).

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (7 Oktober), rakyat Malaysia baru sahaja menyambut kepulangan 23 aktivis yang menyertai Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Namun, hari ini (8 Oktober) dunia dikejutkan pula dengan tindakan tentera Israel memintas Kapal Conscience yang turut membawa aktivis misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition bersama Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG).

Perkara itu dikongsikan oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) yang memaklumkan rejim zionis itu melakukan sekatan terhadap semua bot berkenaan pada 10.50 pagi waktu Malaysia.

Apa yang menjadi perhatian adalah lapan aktivitis Malaysia termasuk Ketua Misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali dan Dr Fauziah Hassan turut ditahan.

Baca Artikel Berkaitan: Misi Ke Gaza: Kapal Conscience Sudah Berlepas Dari Itali, Dr Fauziah Antara 8 Delegasi Dari Malaysia [Video]

Anak Luah Rasa Risau Kerana Ibu Pernah Ditahan Tentera Israel

Terbaharu, anak kepada pasangan Dr Mohd Alauddin dan Dr Fauziah Hassan meluahkan rasa bimbang susulan berita rampasan kapal Conscience oleh tentera Israel.

Anak pasangan berkenaan, Shamil Mohd Alauddin menjelaskan, dia mengetahui perkara tersebut menerusi laporan berita di laman sosial pada pagi tadi.

“Saya semak ‘tracker’ mendapati kapal tidak bergerak dan sudah terputus hubungan, jadi boleh jangka memang ada sesuatu yang berlaku.

“Saya kemudian dimaklumkan MyCARE yang kapal dinaiki ibu bapa sudah dipintas (tentera Israel).

“Kami sekeluarga memang dah bersedia dan menjangkakan ini (ditahan Israel), tapi apa yang mengejutkan ia berlaku terlalu awal,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Sempat Berhubung Dengan Ibu & Dimaklumkan Ada Dron

Memetik Kosmo, Shamil sempat berhubung dengan ibu bapanya semalam (7 Oktober) menerusi panggilan video sekitar jam 6 petang waktu Malaysia (12 tengah hari waktu tempatan).

“Masa tu mereka sempat berhubung. Ibu ada maklum nampak dron, tapi tak pasti milik siapa.

“Mereka juga beritahu masih berada di luar kawasan yang biasa berlakunya interception, jadi kami tak sangka ia akan berlaku secepat ini,” jelasnya.

Namun selepas pukul 10 pagi, tiada lagi sebarang mesej atau panggilan diterima dari mana-mana peserta termasuk ibunya.

Bimbang Dengan Kekejaman Israel Terhadap Ibu

Jelasnya, apa yang dibimbangi oleh keluarga adalah kekejaman Israel ekoran keadaan yang dilalui oleh aktivis GSF yang ditahan baru-baru ini.

“Tambah pula ibu pernah ditahan Israel sebelum ini jadi mereka mesti ada rekod terdahulu. Saya bimbang ibu akan diperlakukan dengan lebih teruk,” katanya.

Pada masa yang sama, Shamil yang berusia 40 tahun berharap agar pihak kerajaan dapat membantu membebaskan kedua ibu bapa serta aktivis kemanusiaan yang terlibat.

Selain Dr Mohd Alauddin dan Dr Fauziah Hassan, enam aktivis lain yang turut ditahan adalah:

  • Dr Hafiz Sulaiman
  • Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi
  • Syafik Shukri Abdul Jalil (wartawan)
  •  Prof Dr Mohd Afandi Salleh (pensyarah)
  • Dr Noorhasyimah Ismail (pensyarah)
  • Norsham Abu Bakar (Ahli Lembaga Pemegang MyCARE)

Selain itu, seorang lagi wakil Malaysia yang menaiki kapal Umm Saad, Dr Maziah Muhammad turut ditahan oleh tentera Israel.

Kesemua mereka ditahan sedang mengikuti gelombang ketiga flotilla kemanusiaan yang berlepas secara berperingkat menuju ke Gaza.

Misi kali ini dijalankan di bawah gabungan FFC and Thousand Madleens to Gaza (TMTG) dengan 10 bot berlepas dari Itali pada 27 September lalu.

Manakala, kapal Conscience yang dilancarkan di Porto Otranto, Itali berlepas pada 30 September.

Pelayaran FFC x TMTG yang merentasi Laut Mediterranean itu membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan yang menggesa agar peperangan serta krisis kebuluran dapat dihentikan selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan.

Sebagai info, Dr Fauziah adalah wanita Malaysia pertama yang berlayar ke Gaza pada tahun 2016 di bawah misi Women’s Boat to Gaza.

Namun misi tersebut tidak berjaya selepas dipintas oleh Israel menyebabkan dia dan semua anak kapal ditahan sebelum dibebaskan semula.

Baca Artikel Berkaitan: Greta Thunberg & Lebih 70 Aktivis GSF Dibebaskan Hari Ini

Baca Artikel Berkaitan: Itali & Sepanyol Hantar Kapal Perang Bantu Misi Global Sumud Flotilla Menuju Gaza

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.