Hampir 300 Doktor Gagal Lapor Diri, Sarawak Kekurangan 1,100 Pegawai Perubatan
Menteri Kesihatan negeri Sarawak berharap agar mesyuarat jawatankuasa teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan datang dapat mencapai kata sepakat menangani masalah kekurangan pegawai kesihatan di negeri itu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Hampir 300 pegawai perubatan ditawarkan jawatan di Sarawak gagal melapor diri untuk bertugas sebelum 1 Oktober.
Menteri Kesihatan negeri Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian yang mendedahkan perkara itu berkata, kementerian berkenaan telah menawarkan 542 jawatan doktor di Sarawak namun 293 daripada mereka tidak hadir melapor diri.
Terdapat 1,100 kekosongan jawatan pegawai perubatan di Sarawak
Memetik FMT, Sim yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, sehingga kini terdapat 1,100 kekosongan jawatan pegawai perubatan di negeri itu.
“Kami memohon 650 calon mengisi jawatan tersebut. Namun, kami hanya diberikan 542, dan daripada jumlah itu, hanya 249 melapor diri untuk bertugas, manakala kira-kira 54% tidak berbuat demikian.
“Jadi, lebih ramai doktor yang gagal melapor diri berbanding yang hadir,” katanya menurut The Borneo Post.
Sim berharap masalah kekurangan pegawai perubatan dapat ditangani
Susulan itu, beliau menyuarakan harapan agar mesyuarat jawatankuasa teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan datang dapat mencapai kata sepakat menangani masalah terbabit.
Terdahulu, Sim berkata tujuh hospital awam di Sarawak kekurangan sekitar 11,000 petugas kesihatan termasuk lebih daripada 1,100 pegawai perubatan.
Menurutnya, angka itu berdasar anggaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan lawatan pasukan sumber manusia pada Julai lalu.
kira-kira 600 pegawai kesihatan di Sabah dan Sarawak ingin pindah ke Semenanjung
Sebelum ini, kira-kira 600 pegawai kesihatan di Sabah dan Sarawak dikesan mengemukakan surat rayuan berpindah keluar dari negeri Borneo itu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, KKM berdepan cabaran untuk membantu memberikan hak kesihatan buat penduduk di Sabah dan Sarawak berikutan perkembangan itu.
“Adakah kita wajar meletakkan semua pegawai perubatan di Lembah Klang dan dalam bandar sahaja?
“Contoh di Sarawak kita mengemukakan 650 perjawatan tetap, namun hanya tujuh pegawai perubatan klik kepada perjawatan tetap itu,” katanya di Dewan Rakyat pada 24 Julai lalu dipetik Buletin TV3.







