fbpx
Now Reading
FIFA Dedah Asal Usul Datuk Nenek 7 Pemain Warisan Bukan Dari Malaysia

FIFA Dedah Asal Usul Datuk Nenek 7 Pemain Warisan Bukan Dari Malaysia

Dalam pada itu FAM berkata, pihaknya telah menerima dokumen penuh penghakiman daripada FIFA dan akan segera mengemukakan rayuan rasmi melalui saluran undang-undang yang ditetapkan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Selepas beberapa hari menanti, semalam (6 Oktober), Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah mengeluarkan ‘motivated decision’ atau dokumen bukti yang menunjukkan bahawa tujuh pemain warisan Harimau Malaya tidak mempunyai kaitan dengan Malaysia.

Menerusi keputusan laporan rasmi yang dikeluarkan oleh FIFA, badan induk bola sepak itu menjelaskan terdapatnya percanggahan antara dokumen yang dikemukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan sijil kelahiran asal yang diperolehi FIFA.

Dokumen tersebut menunjukkan datuk atau nenek tujuh pemain itu tidak dilahirkan di negara ini.

Sebagai contoh, datuk Rodrigo Holgado, Omar Eli Holgado Gardon dan juga datuk Facundo Garces, Carlos Rogelio Fernandez yang dikatakan lahir di Pulau Pinang namun dokumen asal yang diterima FIFA mendapati mereka sebenarnya dilahirkan di Argentina.

Manakala, nenek Joao Figueiredo, Nair de Oliveira yang dikatakan lahir di Johor didapati lahir di Brazil.

Dalam laporan sama, FIFA turut memetik kenyataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mengesahkan pihak berkuasa Malaysia tidak menerima sijil kelahiran asal untuk mengesahkan salasilah pemain-pemain warisan berkenaan.

Sebaliknya jabatan itu hanya mengeluarkan salinan berdasarkan maklumat sekunder dan dokumen luar negara yang diterima yakni dari Argentina, Brazil dan Sepanyol.

“Pengakuan ini, menurut jawatankuasa, menunjukkan bahawa proses pengesahan oleh kerajaan Malaysia mungkin tidak berpandukan dokumen asal — sekali gus menimbulkan persoalan tentang ketelitian proses pengesahan oleh FAM,” kata laporan yang ditandatangani Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio itu.

Susulan itu, FIFA telah menjatuhkan hukuman denda kepada FAM termasuk tujuh bintang warisan berkenaan atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penggunaan dokumen palsu dalam urusan rasmi.

Baca artikel berkaitan: Didakwa Kemuka Dokumen Palsu, FIFA Denda FAM & 7 Pemain Warisan Digantung 12 Bulan

Gambaran terhadap isu dokumentasi FIFA tidak tepat & tidak adil – FAM

Bagaimanapun, FAM menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini (7 Oktober) menegaskan bahawa gambaran terhadap isu dokumentasi oleh FIFA itu adalah tidak tepat dan tidak adil.

Menurut FAM, pihaknya telah menerima dokumen penuh penghakiman daripada FIFA dan akan segera mengemukakan rayuan rasmi melalui saluran undang-undang yang ditetapkan.

Jelas badan induk itu, semua dokumen serta bukti sokongan berkaitan isu berkenaan telah lengkap sepenuhnya dan sedia dikemukakan kepada FIFA dengan kadar segera.

“FAM memandang serius beberapa kesimpulan, khususnya dakwaan bahawa para pemain memperoleh dokumen yang dipalsukan atau dengan sengaja berusaha mengelak peraturan kelayakan.

“FAM menegaskan bahawa tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan ini telah dikemukakan oleh FIFA. Segala dokumentasi dan penyerahan berkaitan kelayakan pemain telah disediakan, disahkan dan diuruskan sepenuhnya oleh FAM mengikut prosedur yang ditetapkan,” kata kenyataan itu.

7 pemain warisan sentiasa bertindak dengan penuh niat baik

FAM turut menegaskan bahawa para pemain terbabit sentiasa bertindak dengan penuh niat baik dan bergantung sepenuhnya kepada proses pengesahan serta pendaftaran yang dijalankan oleh FAM.

“FAM berpendapat bahawa penggambaran ini tidak tepat serta tidak adil, dan perkara ini akan dibangkitkan secara menyeluruh melalui proses rayuan rasmi,” tegas kenyataan tersebut.

Menurutnya lagi, FAM kekal komited mempertahankan kepentingan bola sepak negara serta hak para pemain serta memastikan proses rayuan dijalankan dengan telus dan mengikut peraturan yang ditetapkan.

FAM turut menjelaskan bahawa kes ini melibatkan maklumat rasmi berkaitan prosedur Kerajaan Malaysia berhubung pengeluaran serta pengesahan pasport.

“Selaras dengan peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Pasport 1966, sebarang pendedahan berkaitan bahan atau proses tersebut tanpa kebenaran adalah dilarang sama sekali. Justeru, FAM terikat secara undang-undang untuk mengekalkan kerahsiaan terhadap elemen-elemen tersebut,” katanya.

Kata FAM, semua maklumat berkaitan hanya akan dikongsi dengan pihak FIFA bagi tujuan penyelesaian kes berkenaan.

FIFA denda FAM RM1.8 juta, 7 pemain warisan digantung 12 bulan

Terdahulu, FAM diperintah membayar denda RM1.8 juta selain tujuh pemain warisan itu turut dikenakan penggantungan 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak bermula tarikh yang dimaklumkan.

Tujuh pemain warisan Harimau Malaya itu adalah:

  1. Gabriel Felipe Arrocha
  2. Facundo Garces
  3. Rodrigo Holgado
  4. Imanol Machuca
  5. Joao Figueiredo
  6. Jon Irazabal Iraurgui
  7. Hector Alejandro Hevel Serrano

FAM didapati telah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang melibatkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.

Sebelum ni, FAM mengesahkan pihaknya sudah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen dilakukan oleh kakitangan pentadbiran.

Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman dalam satu kenyataan menegaskan tujuh pemain berdarah warisan yang dikaitkan dengan pemalsuan dokumen itu adalah rakyat Malaysia yang sah.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.