Tiada Child Seat Punca Bayi Tercampak Keluar Dari Kereta Dalam Nahas Plaza Tol Bukit Kajang – Anthony Loke
Pada masa yang sama, Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan menegaskan agar penyelenggaraan kenderaan berat tidak boleh hanya bergantung kepada pemeriksaan Puspakom yang dibuat pada setiap enam bulan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Kemalangan melibatkan empat kenderaan yang terdiri daripada sebuah lori tiga tan membawa barangan lusuh serta tiga buah kenderaan lain pada Sabtu (27 September) lalu di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya Kajang Silk (Silk) masih hangat lagi diperkatakan hingga kini.
Manakan tidak, seorang bayi berusia 12 bulan maut manakala lapan lagi cedera dalam nahas yang berlaku kira-kira jam 10.55 pagi yang turut melibatkan kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail milik Jabatan Kerja Raya (JKR), sebuah kereta jenis Honda City dan Proton X70.
Apa yang menyayat hati adalah bayi tersebut merupakan zuriat yang ditunggu oleh pasangan suami isteri Amirul Ridzuan Abu Bakar dan Nurul Husna Khairuddin sejak 10 tahun lalu.
Baca Artikel Berkaitan: Nahas Plaza Tol Bukit Kajang: Zuriat Yang Dinanti 10 Tahun, Hilang Sekelip Mata – Bapa
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, bayi lelaki berkenaan ditemui tersepit di bawah kereta Nissan X-Trail dan berjaya dikeluarkan pada jam 11.30 pagi namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tiada Child Seat Punca Bayi Tercampak Keluar Dari Kenderaan
Terbaharu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mendedahkan ketiadaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (child seat) menjadi punca utama bayi lelaki tercampak keluar dari kenderaan sebelum maut dalam nahas ngeri terbabit.
Jelasnya, laporan polis dan siasatan awal mendapati bayi lelaki terbabit tidak diletakkan dalam child seat ketika kejadian hingga menyebabkan mangsa tercampak keluar sebelum tersepit dalam kenderaan lain selepas lori tersebut merempuh beberapa kenderaan yang terlibat.
“Saya tidak menyalahkan mangsa atau ibu bapa, tetapi ini satu peringatan penting kepada semua.
“Ramai yang mengeluh apabila kerajaan mewajibkan penggunaan child seat kerana faktor kos namun insiden ini membuktikan betapa pentingnya ciri keselamatan itu.
“Bayangkan jika bayi tersebut berada dalam child seat, kemungkinan besar dia tidak tercampak keluar dan nyawanya masih boleh diselamatkan,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Anthony berkata demikian ketika majlis perasmian Terminal Bersepadu Gombak (TBG) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini (29 September).
Child Seat Merupakan Ciri Keselamatan Tambahan Yang Melindungi Penumpang Kecil
Anthony yang juga merupakan Ahli Parlimen Seremban itu menjelaskan, child seat merupakan ciri keselamatan tambahan yang terbukti mampu melindungi nyawa penumpang kecil dan tidak boleh dipandang ringan.
“Setiap ciri keselamatan yang diperkenalkan mempunyai fungsi dan kebaikan tersendiri.
“Insiden ini sekali lagi membuktikan bahawa mengabaikan child seat boleh membawa risiko besar kepada kanak-kanak,” jelasnya.
Penyelenggaran Tidak Boleh Bergantung Kepada Pemeriksaan Puspakom Semata-Mata
Pada masa yang sama, beliau menegaskan agar penyelenggaraan kenderaan berat tidak boleh hanya bergantung kepada pemeriksaan Puspakom yang dibuat pada setiap enam bulan.
“Lori terbabit mempunyai permit sah, rekod Puspakom masih valid, tetapi itu tidak bermakna pengendali boleh lepas tangan.
“Penyelenggaraan mesti dilakukan sepanjang masa. Dalam kes ini jelas brek lori gagal berfungsi sehingga merempuh plaza tol dan beberapa kenderaan lain,” ujarnya.
Insiden Sebagai Peringatan Kepada Pengusaha Pengangkutan Pastikan Kenderaan Dalam Keadaan Selamat
Jelas Anthony lagi, syarikat lori terbabit hanya mempunyai dua permit lori yang aktif namun insiden tersebut dilihat boleh dijadikan sebagai peringatan kepada semua pengusaha pengangkutan agar sentiasa memastikan kenderaan dalam keadaan selamat.
“Pemandu lori itu sendiri dilaporkan terpaksa melompat keluar untuk menyelamatkan diri kerana brek gagal berfungsi.
“Polis masih meneruskan siasatan penuh, tetapi bukti awal termasuk rakaman video sudah menunjukkan kegagalan sistem brek,” katanya lagi.
Tambah Anthony, kementerian telah menyerahkan siasatan lanjut kepada pihak polis. Ia termasuklah pengesahan teknikal terhadap kerosakan brek lori berkenaan.
“Namun apa yang pasti, bayi tersebut tercampak keluar kerana tiada child seat dan meninggal dunia,” jelasnya.
Baca Artikel Berkaitan: Nahas Plaza Tol Bukit Kajang: Zuriat Yang Dinanti 10 Tahun, Hilang Sekelip Mata – Bapa
Baca Artikel Berkaitan: Kanak-Kanak Terjatuh Dari Kereta Sebelum Dilanggar 2 Kenderaan Raih Perhatian Ramai [Video]



