Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Tidak dinafikan, kehadiran pelancong-pelancong asing ke Malaysia dapat membantu menaikkan ekonomi negara ini terutamanya di dalam industri pelancongan.
Pun begitu, masih ada segelintir peniaga atau individu yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan mengenakan caj lebih tinggi kepada golongan itu sekali gus boleh memburukkan nama negara.
Seperti baru-baru ini, tular satu video di media sosial memaparkan dua pelancong wanita warga China didakwa menjadi mangsa penipuan seorang pemandu teksi haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada 15 September lalu.
Ulat KLIA sudah ditahan JPJ, kereta Axia turut disita – Anthony Loke
Terbaharu, pemandu yang juga ‘ulat’ di KLIA T2 terbabit telah berjaya ditahan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Ahad lalu (21 September).
Perkara itu disahkan sendiri oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menerusi satu hantaran di Facebook semalam (22 September).
Beliau turut memaklumkan bahawa kenderaan jenis Perodua Axia milik ‘ulat’ berkenaan turut disita.
Tawar tambang RM60 tapi paksa bayar RM800
Difahamkan, Anthony mengarahkan JPJ untuk mengesan pemandu tersebut selepas tular di meda sosial mengenai kisah pelancong asing ditipu ‘ulat’ KLIA dengan tawaran tambang asal RM60 tetapi dipaksa membayar RM800.
“Semalam, selepas operasi samaran di KLIA, JPJ telah berjaya menahan kenderaan tersebut bersama pemandunya. Kereta tersebut telah disita serta-merta dan kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan selanjutnya. Syabas dan terima kasih atas tindakan pantas JPJ!
“MOT tidak akan berkompromi dengan ‘ulat-ulat’ yang merosakkan imej negara,” katanya.
Pelancong asing dakwa turut dikurung, dicekik dan ditampar pemandu berkenaan
Sebelum ini, dua pelancong wanita berkenaan mendakwa diri mereka bukan hanya dikenakan tambang lebih 14kali ganda, malah turut dikurung, dicekik dan ditampar oleh pemandu berkenaan.
Kejadian itu dikatakan berlaku ketika dua wanita China terbabit berada di KLIA T2 untuk menuju ke pusat bandar.