KKM Keluarkan Hampir 100,000 Notis Ingkar Larangan Merokok Di Kedai Makan Berjumlah RM11.45 Juta
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly turut meminta pemilik serta pekerja premis kedai makan memainkan peranan dalam menegur pelanggan yang merokok di kawasan yang tak dibenarkan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui larangan merokok di kedai makan mahupun restoran bukanlah suatu perkara yang baharu.
Bahkan larangan ini turut ditampal pada dinding segelintir restoran untuk memaklumkan kepada pelanggan agar tidak melakukan larangan tersebut dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Namun larangan ini tidak diendahkan oleh segelintir pihak, malah ada pula yang sanggup bergaduh atau bertengkar dek kerana kesalahan sendiri dan tidak boleh menerima hakikat apabila kesalahannya ditegur orang ramai seperti yang berlaku baru-baru ini.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Mekanik Hembus Asap & Gaduh Dengan Wanita Hamil Dibebaskan Dengan Jaminan Polis
100,000 notis kesalahan larangan merokok di premis makan dikeluarkan sepanjang 12 bulan lalu
Terbaharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan lebih daripada 100,000 notis berkaitan kesalahan tersebut telah dikeluarkan sepanjang 12 bulan yang lalu dan kompaun berkenaan berjumlah RM11.45 juta.
Jelas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sejumlah 101,521 notis kesalahan tersebut dikeluarkan hasil daripada 19,175 operasi penguatkuasaan di seluruh negara, dengan purata lebih 50 pemeriksaan pada setiap hari.
Perkara itu dimaklumkan oleh beliau ekoran tular video memaparkan seorang lelaki yang mencetuskan pergaduhan apabila tindakannya merokok di sebuah restoran Seksyen 13, Shah Alam ditegur pada minggu yang lalu.
Beliau turut menyifatkan insiden yang berlaku di Shah Alam itu begitu merisaukan.
“Ia adalah satu kesalahan jelas bawah Seksyen 16(2) Akta 852 yang menggantikan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) dalam Akta Makanan (Akta 281),” ujarnya, lapor Harian Metro.
19,175 operasi penguatkuasaan dilakukan di seluruh negara
Beliau dalam masa sama turut menegaskan bahawa KKM sentiasa komited dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan untuk memastikan undang-undang dipatuhi.
“Sepanjang tempoh 12 bulan lalu, sebanyak 19,175 operasi dilaksanakan di seluruh negara dengan purata lebih 50 operasi sehari, selain 101,521 notis kesalahan dikeluarkan dengan nilai kompaun berjumlah RM11.45 juta.”
Walau bagaimanapun ujarnya meskipun tindakan penguatkuasaan dilakukan secara berterusan beliau turut menyifatkan isu kesihatan awam adalah tanggungjawab bersama serta ia tidak boleh sekadar bergantung pada undang-undang sahaja.
Pemilik & pekerja kedai makan perlu main peranan tegur pelanggan yang merokok
Oleh itu, Dr Dzulkefly mengingatkan kepada pemilik serta pekerja premis kedai makan atau restoran untuk memainkan peranan bagi menegur pelanggan yang merokok di kawasan yang tidak dibenarkan.
Buat aduan menerusi kempen #JomLapor
Selain itu, beliau juga menggesa orang ramai untuk membuat aduan berkaitan kesalahan merokok dalam kempen #JomLapor dengan menghantar mesej WhatsApp di 010 8608 949 atau hubungi talian 03 8892 4530.
“Hormatilah hak pengunjung lain terutama kanak-kanak, ibu mengandung serta warga emas untuk menikmati makanan tanpa asap rokok.
“Ia dengan memastikan aktiviti merokok dilakukan sekurang-kurang tiga meter dari meja terakhir premis makan.
“Peraturan jarak tiga meter itu masih berkuat kuasa. Merokok adalah satu ketagihan, dan hak perokok juga tidak dinafikan sekiranya tidak merokok di tempat larangan, terutama di premis makan awam,” ujarnya lagi.



