fbpx
Now Reading
Zara Qairina Dituduh Mencuri, Pelajar Senior Panggil & Soal Sehari Sebelum Ditemui Tidak Sedarkan Diri – Saksi

Zara Qairina Dituduh Mencuri, Pelajar Senior Panggil & Soal Sehari Sebelum Ditemui Tidak Sedarkan Diri – Saksi

Saksi juga memberitahu mahkamah bahawa Allahyaram Zara Qairina berkemungkinan dibawa menghadiri satu perjumpaa haram digelar ‘MA’ selepas aduan dibuat kepada pelajar senior.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pada hari ini (12 September) diberitahu terdapat suara-suara dalam kalangan pelajar SMKA Tun Datu Mustapha, Papar yang mengaitkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir dengan satu kes curi sehari sebelum pelajar tingkatan satu itu ditemui tidak sedarkan diri.

Saksi keenam prosiding inkues kes terbabit, Linah Mansoding berkata, pelajar sekolah itu pernah bercakap mengenai Zara Qairina yang disyaki mencuri barang milik seorang pelajar yang dirujuk sebagai A.

Pelajar mengadu hilang dompet pada 15 Julai

Linah yang merupakan pengawal keselamatan di sekolah itu berkata A telah memaklumkan kepadanya pada 15 Julai lalu bahawa dia kehilangan dompetnya.

“Dia (A) memberitahu yang dompet itu berada dalam begnya pada sebelah pagi tetapi sudah hilang ketika malam.

“Dikatakan ada wang tunai RM300 dan kad bank di dalam dompet itu. Bagaimanapun, dia tidak cakap siapa yang mencuri dompetnya,” katanya dipetik Berita Harian.

Linah turut memaklumkan dia telah menasihati A bahawa pelajar sepatutnya meminta bantuan warden untuk menjaga keselamatan wang mereka.

Peguam yang mewakili Keluarga Zara Qairina, Shahlan Jufri menyoal Linah berhubung dakwaan kecurian itu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Pelajar hilang dompet mengadu kepada pelajar senior

Linah turut memberitahu mahkamah bahawa A telah melaporkan kepada pelajar senior berhubung dakwaan kehilangan dompetnya.

Menurutnya, seorang daripada warden dikenali sebagai Ustaz Rizani mengambil langkah susulan mengenai dakwaan itu, termasuk bercakap dengan dua pelajar serta menemu bual beberapa yang lain secara individu.

“Apabila Zara dituduh mencuri, pelajar Tingkatan Empat memanggil dan menyoalnya,” katanya.

Shahlan: Dalam ramai-ramai pelajar, kenapa Zara yang dituduh?

Linah: Saya pun tidak tahu kenapa.

Zara Qairina mungkin dibawa hadiri perjumpaan haram ‘MA’

Sementara itu, memetik Kosmo, Linah memberitahu mahkamah bahawa arwah Zara Qairina juga berkemungkinan dibawa menghadiri satu perjumpaan haram dikenali sebagai ‘MA’ selepas aduan dibuat kepada pelajar senior.

Mahkamah dimaklumkan bahawa ‘MA’ adalah istilah bagi perjumpaan antara pelajar senior dan junior di asrama yang kononnya bertujuan memberi teguran atau nasihat.

Bagaimanapun, ia diharamkan sejak 2017 kerana sering disalahgunakan untuk menekan junior.

“Amalan ‘MA’ hanya dijalankan secara senyap oleh pelajar senior tanpa pengetahuan guru atau warden, biasanya ia berlaku apabila timbul isu disiplin seperti tidak menghormati senior atau tuduhan melakukan kesalahan.

“Sepanjang berada di asrama ini, saya hanya mengetahui tiga sesi ‘MA’ pernah berlaku termasuk ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Sepatutnya sebarang masalah dilaporkan kepada guru. Tetapi dalam kes ini, pelajar senior bertindak sendiri memanggil junior mereka. Itu sebabnya ‘MA’ dilarang,” kata Linah.

Untuk info, arwah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada keesokannya (17 Julai).

Kematian pelajar berusia 13 tahun itu mendapat perhatian ramai susulan dakwaan ia mempunyai kaitan dengan kes buli melibatkan pelajar senior di sekolahnya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.