fbpx
Now Reading
Isu Pelajar Cemerlang STPM Tak Dapat UM, KPT Tampil Beri Penjelasan

Isu Pelajar Cemerlang STPM Tak Dapat UM, KPT Tampil Beri Penjelasan

Naib Canselor UM turut menafikan dakwaan bahawa pelajar cemerlang STPM berkenaan telah menerima tawaran awal melalui saluran terbuka (SATU) UM.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai seorang pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mendakwa tidak mendapat tempat dalam program perakaunan di Universiti Malaya (UM).

Perkara itu mendapat perhatian ramai kerana pelajar berkenaan mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 namun gagal mendapat tempat di universiti awam itu.

Terbaharu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menafikan kenyataan pelajar STPM terbabit yang mendakwa tidak mendapat tempat dalam program berkenaan di UM.

Pelajar cemerlang STPM berada di ranking ke-1,127, UM hanya tawar 85 tempat

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Azlinda Azman menjelaskan bahawa pelajar itu memperoleh PNGK 4.00 dan markah kokurikulum 9.90 menjadikan merit keseluruhan sebanyak 99.90%.

Bagaimanapun, katanya kedudukan ranking permohonannya dalam program tersebut berada di tangga ke-1,127 daripada 2,291 calon yang layak, sedangkan UM hanya menawarkan 85 tempat sahaja.

“Walaupun beliau memperoleh PNGK 4.00, kedudukannya masih jauh di belakang pemohon yang meraih merit penuh 100%.

“Kegagalannya mendapat tempat di UM adalah disebabkan kapasiti yang amat terhad,” katanya dipetik Awani.

Semua pelajar raih PNGK 4.00 dijamin dapat tempat pengajian

Beliau menegaskan bahawa selaras dengan komitmen KPT, semua pelajar yang memperoleh PNGK 4.00 dijamin mendapat tempat pengajian.

Bahkan pelajar tular itu juga telah ditawarkan tempat di sebuah universiti penyelidikan terkemuka yang merupakan pilihan kelimanya.

Keputusan UPUOnline dijana sepenuhnya berdasarkan merit

Jelas Azlinda, keputusan UPUOnline dijana sepenuhnya oleh sistem berasaskan merit mengikut kursus yang dipohon.

“Sistem ini telah lama digunakan dan berjaya menempatkan jutaan pelajar ke universiti awam secara telus dan adil,” katanya.

Menurutnya lagi, semua permohonan disaring mengikut merit tertinggi hingga terendah sebelum penawaran dibuat.

KPT juga terbuka menerima pandangan dan cadangan bagi penambahbaikan sistem tersebut.

Mengulas lanjut, Azlinda berkata kekeliruan timbul apabila pelajar berkenaan mendakwa menerima tawaran awal melalui saluran terbuka (SATU) UM sebelum keputusan rasmi UPUOnline diumumkan.

UM nafi pelajar cemerlang STPM terima tawaran awal melalui saluran terbuka

Susulan itu, Naib Canselor UM, Datuk Seri Prof Dr Noor Azuan Abu Osman turut tampil menafikan dakwaan berkenaan dan menjelaskan bahawa pelajar tersebut hanya membuat permohonan secara dalam talian pada 16 Julai lalu.

“Universiti hanya mengeluarkan pratawaran atau conditional offer, bukannya tawaran rasmi. Tawaran sebenar hanya dikeluarkan selepas tarikh rayuan UPUOnline selesai, mengikut merit dan ranking. Tidak wujud tawaran automatik seperti yang didakwa,” kata Prof Dr Noor.

Untuk info, KPT juga telah membuka kaunter konsultasi rayuan UPUOnline di Ruang Legar kementerian itu di Putrajaya sehingga 12 September ini.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.