fbpx
Now Reading
SPRM Tutup Kes Penerokaan Mineral Di Sabah Babitkan Farhash – Azam Baki

SPRM Tutup Kes Penerokaan Mineral Di Sabah Babitkan Farhash – Azam Baki

Difahamkan, keputusan tersebut dibuat kerana siasatan mendapati tiada lesen penerokaan dikeluarkan kepada syarikat milik bekas pembantu Anwar Ibrahim itu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Hari ini (9 September), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kes siasatan terhadap bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Datuk Seri Farhash Wafa Salvador berkait penerokaan mineral di Sabah selesai dan ditutup.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, keputusan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya memutuskan tiada kes jenayah yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak.

“Siasatan kita jalankan dengan memanggil semua yang terbabit dan kita juga merekod kenyataan daripada Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), kerajaan negeri, siapa-siapa yang dikatakan terbabit.

“Akhirnya, Timbalan Pendakwa Raya sudah membuat keputusan tiada kes jenayah yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak sama ada di bawah Akta SPRM 2009, Kanun Keseksaan dan tiada isu tadbir urus, maka kes ini ditutup,” katanya dipetik Berita Harian.

Tiada lesen penerokaan dikeluarkan kepada syarikat milik Farhash

Memetik MalaysiaKini, keputusan tersebut dibuat kerana siasatan mendapati tiada lesen penerokaan dikeluarkan kepada syarikat milik ahli perniagaan itu.

Menurut Azam, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Farhash pernah mengemukakan permohonan penerokaan mineral kepada SMM pada Mac 2023.

“Syarikat beliau (Farhash) dikatakan telah menerima kelulusan daripada kerajaan negeri untuk meneroka mineral di Sabah. Siasatan telah dijalankan dan saya memaklumkan bahawa tiada permohonan tanah yang dikemukakan.

“Yang ada permohonan untuk eksplorasi mineral kepada SMM. Pada mulanya SMM telah membenarkan eksplorasi ini secara bersyarat pada Mac 2023 dan syarikat itu perlu mengemukakan dokumen tertentu bagi sebarang kebenaran (sebelum) eksplorasi berkenaan,” katanya.

Menurutnya lagi, bagaimanapun syarikat berkenaan gagal menyerahkan dokumen yang diminta menyebabkan permohonan itu ditamatkan pada Mac tahun ini.

“Jadi sebenarnya tidak ada apa-apa eksplorasi yang telah dijalankan kerana (syarikat) tidak membekalkan dokumen berkenaan,” ujarnya.

Sebelum ini, seorang individu mendakwa dirinya adalah pemberi maklumat berhubung skandal rasuah lesen perlombongan mineral di Sabah.

Dalam dakwaannya, terdapat pihak yang membiayai rasuah tersebut dan mengaitkannya dengan sebuah parti politik.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.