Tular Klinik Gigi Pasang Jalur Gemilang Terbalik, Polis Buat Siasatan
Jelas Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), pihaknya turut mengarahkan Jalur Gemilang yang dipasang terbalik di klinik pergigian terbabit dibetulkan semula pada petang semalam (20 Ogos).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Semalam (20 Ogos), tular satu video di Facebook memaparkan bendera Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik di sebuah klinik pergigian di Pontian, Johor.
Turut kelihatan bendera Johor juga turut dipasang bersebelahan dengan bendera Jalur Gemilang itu.
Dalam video sama, kelihatan beberapa anggota polis serta orang awam turut berada di hadapan klinik berkenaan.
Polis buka kertas siasatan berkaitan isu pasang bendera terbalik
Terbaharu, polis telah bertindak membuka kertas siasatan berhubung isu tersebut.
Jelas Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintendan Abdul Hamil Abdul Rahaman, hasil siasatan awal yang dilakukan mendapati insiden berpunca dari kecuaian pekerja klinik serta mereka tidak mempunyai apa-apa niat untuk menghina simbol kebangsaan berkenaan.
“Polis mengambil maklum insiden pemasangan Jalur Gemilang terbalik di premis berkenaan yang menimbulkan ketidakpuasan hati awam dan sedang menyiasat kes ini.
“Pemilik premis telah tampil memberikan kerjasama sepenuhnya dan tindakan segera diambil bagi membetulkan kedudukan bendera.
“Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan negara yang wajib dihormati oleh setiap lapisan masyarakat, sehubungan itu, semua pihak diingatkan supaya memastikan pemasangan bendera dilakukan dengan betul setiap masa dan khususnya sempena sambutan bulan kemerdekaan,” ujarnya, dipetik Harian Metro.
Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Beliau dalam masa sama turut menasihati orang ramai agar tidak membuat spekualsi serta menyebarkan maklumat tak sahih atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum serta mengganggu ketenteraman awam.
MPPn turut arahkan untuk betulkan semula bendera yang dipasang terbalik
Terdahulu, Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) turut mengarahkan Jalur Gemilang yang dipasang terbalik di klinik berkenaan dibetulkan semula pada petang semalam (20 Ogos).
Menerusi kenyataan di Facebook MPPn, dua anggota penguat kuasa sudah diatur gerak ke lokasi sebaik menerima aduan mengenai isu itu.
“Hasil semakan langsung di lapangan mendapati kesalahan pemasangan bendera Malaysia dalam keadaan terbalik telah berlaku dengan menggantung pada tingkap aras dua bahagian dalam premis berkenaan.
“Walau bagaimanapun, setibanya di premis mendapati premis tersebut telah tamat waktu operasi dan pihak MPPn dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) telah menghubungi pekerja premis untuk datang ke lokasi kejadian serta-merta.
“Wakil pekerja telah hadir ke lokasi dan tindakan pembetulan telah dilaksanakan serta-merta oleh pekerja yang sama memasang bendera Malaysia dalam keadaan terbalik,” jelasnya lagi.
Pihak MPPn turut memantau proses pembetulan itu dilakukan bersama PDRM.




