fbpx
Now Reading
Hentikan Keganasan Ke Atas Palestin Dahulu, Baru Boleh Berunding – PMX

Hentikan Keganasan Ke Atas Palestin Dahulu, Baru Boleh Berunding – PMX

Dalam masa sama, Malaysia mengambil langkah berhati-hati terhadap kandungan serta prasyarat dalam Deklarasi New York.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semakin hari, masyarakat global dilihat semakin cakna dengan pembantaian yang dilakukan oleh rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.

Dalam semangat ini, pemimpin-pemimpin dunia turut berusaha dalam menghentikan ‘konflik’ yang berlaku di Timur Tengah itu.

Salah satu inisiatif terbaharu yang diwujudkan adalah Deklarasi New York yang menggariskan pelan bagi penyelesaian yang aman antara Palestin dan Israel.

Baca Artikel Berkaitan: ‘Pilihan Sukar Tetapi Nyata’ – Pakar PBB Gesa Masyarakat Dunia Ambil Tindakan Segera Dalam Isu Palestin

Baca Artikel Berkaitan: “Israel Haramkan UNRWA Di Palestin Strategi Nafikan Hak Penduduk Pulang Ke Tanah Air” – Wisma Putra

Anwar Ibrahim Gesa Rundingan Tidak Dijalankan Dengan Israel Selagi Masih Lakukan Keganasan

Hari ini (8 Ogos), Malaysia menyatakan prinsip bahawa rundingan berhubung penjajahan di Gaza dan Palestin tidak perlu diadakan selagi mana rejim Zionis masih menjalankan pembantaian ke atas penduduk di sana.

Pendirian itu dikemukakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan sebarang rundingan tidak sepatutnya dilakukan dengan pihak yang menceroboh sesebuah negara dan melakukan keganasan terhadap rakyatnya.

“Pendirian kita jelas, hentikan keganasan, hentikan genosid, hentikan pembunuhan, hentikan penjajahan ke atas Gaza dan Palestin. Tiada rundingan sebelum itu.

“Mana boleh kita runding dengan orang yang bunuh hari-hari, dia datang rumah saya rampas bunuh anak isteri saya kemudian kata boleh tak kita runding nak ikhtiar, tidak mungkin itu berlaku,” katanya dipetik Berita Harian.

Malaysia Ambil Langkah Berhati-Hati Dengan Deklarasi New York

Terdahulu, Malaysia menyatakan sokongan ke atas The Hague Group dalam mencari penyelesaian jangka panjang terhadap konflik di Gaza.

Dalam masa sama, negara mengambil langkah berhati-hati terhadap kandungan serta prasyarat dalam Deklarasi New York.

Sebagai info, deklarasi berkenaan kini sedang dibahaskan di peringkat antarabangsa dengan pemimpin beberapa negara yang menyatakan sokongan untuk menghentikan apa yang digelar sebagai peperangan di Gaza.

Mengulas lanjut, Anwar berkata pembantaian oleh rejim Zionis ke atas Palestin adalah amat teruk sehingga membabitkan pembunuhan kanak-kanak dan wanita, serta kemusnahan rumah dan harta benda.

Beliau juga berpendapat bahawa masyarakat dunia seolah hilang nilai dan sikap asas untuk mempertahankan kemanusiaan.

Kanak-kanak di Palestin berdepan kebuluran yang membawa maut. (Sumber gambar: X @EyeonPalestine)

Baca Artikel Berkaitan: “Kematian Yang Kejam & Perlahan” – Ini Yang Terjadi Apabila Seseorang Kebuluran

Malaysia Minta Pemimpin Dunia Hentikan Pembantaian Ke Atas Palestin

Susulan itu, Anwar menyatakan rayuan Malaysia agar para pemimpin dunia, lebih-lebih lagi kuasa besar, menghentikan kekejaman yang dihadapi oleh rakyat Palestin.

“Malaysia kekal konsisten dalam mengecam kekejaman ini, dan kita merayu secara terbuka kepada semua pemimpin dunia.

“Presiden, Perdana Menteri, termasuk Presiden Donald Trump, dapat sekurang-kurangnya menghentikan pembunuhan ini kerana beliau masih mempunyai pengaruh. Dan jika beliau mampu menghentikan pembunuhan ini, dunia akan menghormatinya dan mengiktiraf sumbangannya.

“Beliau pernah menyokong usaha kita untuk mencapai keamanan antara Kemboja dan Thailand, dan kita percaya ia boleh dilakukan, asalkan ada keberanian, keazaman dan pendirian prinsip,” ujarnya.

Sumber gambar: FB Anwar Ibrahim

Malaysia Mahukan Negara Palestin Yang Merdeka Tanpa Prasyarat

Dalam perkembangan sama, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia menyokong penubuhan negara Palestin yang merdeka. Namun ia haruslah berlaku tanpa sebarang prasyarat sebelum kebebasan itu digapai.

“Kami mahukan negara Palestin yang merdeka, titik. Selepas itu, sesiapa yang memerintahnya adalah hak rakyat Palestin dan kami tidak akan masuk campur,” ujar beliau dipetik The Star.

Beliau menjelaskan bahawa tindakan Deklarasi New York menetapkan prasyarat ke arah mendapatkan sebuah negara Palestin yang merdeka tanpa membincangkan perkara itu dengan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuatkan Malaysia berasa kurang selesa.

Mohamad Hasan juga menyatakan bahawa dokumen tersebut tidak menggariskan punca akar konflik iaitu pendudukan Israel secara haram di tanah Palestin.

Banyak Negara Nyatakan Sokongan Pada Deklarasi New York

Deklarasi New York telah dibentangkan oleh Perancis dan Arab Saudi susulan konferens tahap tinggi yang berlangsung di New York sebelumnya.

Ia bertujuan untuk mendapatkan sokongan negara anggota PBB agar mendukung ‘langkah-langkah yang ketara, terhad masanya dan tidak dapat berpatah balik’ dalam mewujudkan penyelesaian dua negara antara Palestin dan Israel.

Deklarasi tersebut telah disokong oleh 122 negara termasuk 22 ahli Liga Negara Arab, keseluruhan Kesatuan Eropah dan 17 negara lain, namun diboikot oleh Amerika Syarikat dan Israel.

Merujuk kepada Deklarasi New York, antara prasyarat yang ditetapkan adalah agar peperangan di Gaza dihentikan, Gaza dan Tebing Barat disatukan, serta rundingan diadakan kembali antara Palestin dan Israel.

Ia juga menyatakan bahawa pelaksanaan ‘two-state solution’ adalah satu-satunya cara untuk memenuhi aspirasi yang sah dan selaras dengan undang-undang antarabangsa buat Palestin dan Israel, serta cara terbaik bagi menghentikan keganasan.

“Peperangan, pendudukan, keganasan dan pemindahan secara paksa tidak dapat membawa keamanan mahupun keselamatan. Hanya penyelesaian politik yang boleh,” tertulis pada perenggan 5, Deklarasi New York.

Baca Artikel Berkaitan: NGO Malaysia Zahir Rasa Kecewa Selepas Negara Arab Gesa Hamas Letak Senjata & Serah Pentadbiran Gaza

Baca Artikel Berkaitan: 28 Kanak-Kanak Palestin Terbunuh Setiap Hari Di Gaza – UNICEF

Baca Artikel Berkaitan: Bekalan Makanan Tak Dibenarkan Masuk Ke Gaza, Penduduk Akan Terkorban Akibat Kebuluran

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.