fbpx
Now Reading
PMKS Terus Pacu Pertumbuhan Ekonomi Negara, Sumbang RM652.4 BILION Pada 2024

PMKS Terus Pacu Pertumbuhan Ekonomi Negara, Sumbang RM652.4 BILION Pada 2024

Statistik rasmi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa PMKS telah berkembang sebanyak 5.8% pada tahun 2024, kekal mengatasi prestasi ekonomi negara yang berkembang sekitar 5.1% dan Bukan PMKS pada kadar 4.7%.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pemain utama dalam ekonomi Malaysia dengan menyumbang sebanyak RM652.4 bilion pada tahun 2024.

Statistik rasmi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa PMKS telah berkembang sebanyak 5.8% pada tahun 2024, kekal mengatasi prestasi ekonomi negara yang berkembang sekitar 5.1% dan Bukan PMKS pada kadar 4.7%.

Prestasi memberangsangkan yang selari dengan trajektori pertumbuhan ekonomi keseluruhan Malaysia ini dipacu oleh sektor pembinaan yang mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 17.3% (2023: 5.8%).

Ini merupakan rekod pertumbuhan paling kukuh pernah dicapai oleh PMKS sektor pembinaan dalam tempoh 10 tahun yang lepas, disokong terutamanya oleh subsektor pertukangan khas (special trades), lantas memberi momentum tambahan kepada prestasi keseluruhan PMKS. Hasilnya, sumbangan PMKS kepada KDNK keseluruhan meningkat kepada 39.5% pada 2024, berbanding 39.3% pada tahun sebelumnya.

Prestasi PMKS yang menggalakkan ini bukan sahaja dibuktikan di peringkat domestik, malah meliputi integrasi dalam rantaian nilai global. Eksport PMKS melonjak dengan ketara sebanyak 31.3% atau hampir RM50 bilion kepada RM196.8 bilion.

Ini merupakan peningkatan yang luar biasa berbanding pertumbuhan 3% yang dicatatkan pada tahun 2023 dengan nilai RM149.9 bilion. Malah, eksport PMKS juga adalah jauh lebih kukuh berbanding Bukan PMKS atau firma besar yang mencatatkan pertumbuhan eksport sekitar 7.2%. Susulan prestasi yang memberangsangkan ini, peratus sumbangan PMKS kepada jumlah eksport negara telah meningkat secara signifikan kepada 14.3% pada tahun 2024 (2023: 12%).

Momentum eksport luar biasa ini dipacu oleh sektor perkhidmatan yang mencatatkan peningkatan lebih dua kali ganda, iaitu daripada RM33.2 bilion kepada RM71.3 bilion pada tahun 2024, disokong terutamanya oleh industri berkaitan pelancongan. Malaysia menerima 38 juta pelancong asing pada tahun 2024, iaitu peningkatan sebanyak 31.1% (2023: 29 juta pelancong).

Perkembangan positif dalam industri pelancongan telah memberi kesan limpahan yang menggalakkan terhadap eksport PMKS, memandangkan lebih separuh daripada PMKS (atau 55.6%) terlibat secara aktif dalam industri berkaitan pelancongan. Pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India turut menyokong lonjakan dalam bilangan pelancong.

Manakala dalam aspek guna tenaga pula, PMKS menggaji seramai 8.1 juta orang pekerja, iaitu kenaikan sebanyak 3.1% atau tambahan hampir 250,000 pekerja. Justeru, sumbangan PMKS kepada guna tenaga keseluruhan meningkat kepada 48.7% pada tahun 2024 (2023: 48.5%).

Sementara itu, produktiviti pekerja PMKS adalah pada RM80,507 bagi setiap pekerja, bertambah baik daripada nilai yang dicatatkan pada tahun 2023 iaitu RM78,475 bagi setiap pekerja.

Berdasarkan jangkaan situasi ekonomi pada tahun ini, pelbagai faktor dan cabaran dijangka akan memberi kesan kepada prestasi perniagaan PMKS. Di antaranya termasuklah tarif timbal balas oleh Amerika Syarikat serta peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick, situasi semasa ini memberi peluang kepada PMKS untuk mengubah cabaran kepada pertumbuhan perniagaan yang strategik dengan menilai semula struktur rantai bekalan, penerapan amalan ESG dan tahap pendigitalan firma.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama agensi- agensinya khususnya SME Corp. Malaysia komited dalam membangunkan PMKS melalui pelaksanaan intervensi bersasar.

“Penskalaan perniagaan PMKS akan menjadi agenda utama dalam melonjakkan pertumbuhan, sekaligus mewujudkan PMKS yang lebih berdaya tahan bagi menghadapi sebarang ketidaktentuan pada masa hadapan.”

Malah beliau menzahirkan keyakinan bahawa prestasi positif PMKS akan membantu mencapai sasaran KUSKOP untuk meningkatkan perusahaan bersaiz sederhana daripada 1.6% pada masa kini kepada 5% menjelang tahun 2030.

“Prestasi mantap dalam eksport meneguhkan lagi kedudukan PMKS dalam pasaran global. Sejak tahun 2022 di bawah Program Pengukuhan Eksport PKS, SME Corp. Malaysia telah mempromosikan PMKS Malaysia di luar negara dan menyokong mereka melalui pembinaan kapasiti dan bantuan kewangan menerusi penghubung pasaran (market linkers) yang dilantik.

“Matlamat kami di bawah RMK13 adalah untuk meningkatkan eksport PMKS melalui inisiatif khusus yang disasarkan bagi memperkasa sektor berimpak tinggi, pengantarabangsaan dan kelestarian PMKS. Malah, bersempena dengan Kepengerusian ASEAN – Malaysia tahun ini, SME Corp. Malaysia akan menganjurkan SME Venture@ASEAN 2025 dari 16-18 Oktober 2025 yang menawarkan peluang terbaik kepada PMKS untuk menembusi pasaran eksport terutamanya di rantau ASEAN,” katanya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.