Hasil Rundingan Di Malaysia, Thailand & Kemboja Setuju Gencatan Senjata Bermula Jam 12 Malam
Gencatan senjata di antara Thailand dan Kemboja merupakan langkah pertama yang penting ke arah meredakan ketegangan dan memulihkan keamanan serta keselamatan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak minggu lalu, kecoh di media sosial mengenai konflik sempadan di antara dua negara jiran iaitu Kemboja dan Thailand.
Ketegangan di antara kedua-dua negara dilihat semakin parah apabila tentera mereka saling berbalas tembakan sehingga ada nyawa orang awam dan askar yang terkorban.
Susulan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi ASEAN telah mengaturkan satu mesyuarat khas hari ini (28 Julai) untuk membincangkan konflik tersebut selain mencadang satu perjanjian damai antara kedua-dua pihak.
PM Thailand & PM Kemboja setuju gencatan senjata serta-merta
Terbaharu, Perdana Menteri Kemboja, Samdech Moha Borvor Thipadei HUN Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai menyatakan pendirian dan kesediaan mereka untuk gencatan senjata serta-merta.
Menerusi satu kenyataan bersama, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump juga telah menghubungi pemimpi kedua-dua negara itu dan menggesa mereka untuk mencari penyelesaian damai.
“Pihak China juga terus berhubung rapat dengan Kemboja, Thailand, Malaysia serta negara-negara berkaitan secara aktif bagi mempromosikan dialog, gencatan senjata serta pemulihan keamanan,” kata kenyataan itu.

Persefahaman yang dicapai Thailand dan Kemboja ketika ini
Hasil daripada Mesyuarat Khas itu, pemimpin tertinggi Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melakukan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat berkuat kuasa pada jam 12 malam ini.
Ini merupakan langkah pertama yang penting ke arah meredakan ketegangan dan memulihkan keamanan serta keselamatan.
Selain itu, Thailand dan Kemboja juga akan mengadakan mesyuarat tidak rasmi antara panglima tentera wilayah mereka pada esok (29 Julai) diikuti dengan mesyuarat bersama Atase Pertahanan yang dipengerusikan oleh Anwar (jika kedua-dua pihak bersetuju).
Kedua-dua negara juga akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) pada 4 Ogos hadapan yang akan dianjurkan oleh Kemboja.
Malaysia akan sediakan pasukan pemerhati
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia bersedia menyelaras pasukan pemerhati untuk mengesahkan dan memastikan pelaksanaan gencatan senjata ini.
“Malaysia juga akan berbincang dengan negara-negara anggota ASEAN untuk menyertai usaha pemerhatian ini, selaras dengan komitmen serantau terhadap keamanan di lapangan.
“Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menyambung semula komunikasi langsung antara Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri dan Menteri Pertahanan masing-masing,” kata kenyataan itu lagi.
Menteri Luar serta Menteri Pertahanan Malaysia, Kemboja dan Thailand telah diarahkan untuk membangunkan mekanisma terperinci untuk pelaksanaan, pengesahaan dan pelaporan gencatan senjata ini.
Mekanisma ini akan menjadi asas kepada keamanan berkekalan dan kebertanggungjawaban bersama.



