fbpx
Now Reading
Tular Penuntut Universiti Cedera Dikelar ‘Ex Boyfriend’, Ini Yang Kami Tahu Setakat Ini

Tular Penuntut Universiti Cedera Dikelar ‘Ex Boyfriend’, Ini Yang Kami Tahu Setakat Ini

Difahamkan, wanita warga asing berusia 20 tahun itu dikelar di bahagian leher pada petang Ahad lalu (13 Julai) ketika berada di sebuah universiti swasta di Subang Jaya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Bercinta ketika masih menuntut ilmu bukan lah sesuatu yang asing lagi di Malaysia. Tidak dinafikan, ada yang kekal sehingga ke alam perkahwinan.

Pun begitu, ada juga hubungan sewaktu zaman belajar yang berakhir di tengah jalan kerana tiada lagi kefahaman atau rasa cinta.

Perkara sebegini mungkin biasa, namun ia juga boleh menjadi mimpi buruk buat seseorang sekiranya bekas pasangan tidak ‘move on’, menyimpan dendam dan sebagainya.

Pelajar wanita parah dikelar bekas teman lelaki di kampus

Seperti baru-baru ini, tular berita seorang pelajar wanita warga asing cedera selepas dikelar oleh bekas teman lelakinya yang juga warga asing dalam kejadian di sebuah univerisiti di Subang Jaya, Selangor.

Difahamkan, wanita berusia 20 tahun itu dikelar di bahagian leher pada petang Ahad lalu (13 Julai).

Insiden berkenaan turut tular di media sosial selepas dikongsikan seorang pengguna Facebook.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 6.30 petang berhubung kejadian itu yang melibatkan serangan menggunakan pisau.

“Pada jam lebih kurang 6.30 petang pihak polis telah menerima satu laporan yang mana berlakunya kes seorang lelaki mencederakan seorang wanita.

“Sebaik pihak polis tiba di lokasi, terdapat insiden yang mana seorang lelaki dikatakan telah mencederakan seorang wanita yang juga merupakan bekas kekasihnya,” katanya dipetik Astro Awani.

Mangsa dalam keadaan stabil, suspek sudah ditahan

Wanita itu kemudiannya dibawa ke Hospital Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan ditempatkan di Zon Merah untuk rawatan kecemasan.

Keadaan mangsa yang mengalami kecederaan di leher sebelah kiri bagaimanapun dilaporkan dalam keadaan stabil ketika ini.

“Suspek lelaki berumur 21 tahun, yang dikenal pasti sebagai bekas teman lelaki mangsa telah ditahan sejurus selepas kejadian.

“Bagaimanapun pihak polis masih menyiasat motif sebenar serangan yang dilakukan lelaki terbabit,” katanya.

Tak puas hati mungkin penyebab utama, suspek berang dakwa bekas GF menipu

Namun laporan terbaharu Sinar Harian menyebut, perselisihan faham mungkin menjadi punca wanita berkenaan dikelar oleh lelaki itu.

Menurut Wan Azlan, siasatan awal mendapati suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan bekas teman wanitanya itu.

“Suspek dipercayai marah kerana mendakwa bekas teman wanitanya telah menipu dengan mengatakan bahawa suspek menghalangnya daripada keluar dari rumah.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca-punca lain yang mungkin berkaitan dengan kejadian ini,” kata Wan Azlan lagi.

Suspek direman 4 hari, Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan

Suspek kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, sebatan atau gabungan dua daripada hukuman tersebut.

Pihak polis juga meminta orang awam yang mempunyai maklumat lanjut untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 atau Pegawai Penyiasat, Insp. Fadizah Ajamin di talian 019-8582166.

Jangan risau! Polis berjanji akan merahsiakan identiti pemberi maklumat.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.