Polis Sahkan Pelajar Universiti Di Cyberjaya Mati Dibunuh, Tiada Unsur Rogol
Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian akibat hentakan objek tumpul di kepala dan tiada kesan kecederaan lain ditemui yang boleh dikaitkan dengan rogol.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (25 Jun), kecoh di media sosial kematian seorang wanita yang merupakan penuntut sebuah universiti swasta di Cyberjaya, Selangor.
Menerusi hantaran tular, mangsa yang berusia 20 tahun dan berasal dari Kuching, Sarawak itu didakwa ditemui mati dipercayai dibunuh dalam bilik asramanya.
Mayat mangsa ditemui oleh rakannnya dengan kesan kecederaan pada anggota badan kira-kira jam 10 pagi sebelum rakannya itu memaklumkan kejadian kepada polis.
Difahamkan, mangsa tinggal di bilik berkenaan bersama lima orang rakannya namun tinggal sendirian kerana mangsa dijadualkan menghadapi peperiksaan manakala lima rakannya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu.
Malah, menerusi hantaran yang tular di media sosial, kecoh dakwaan yang mendakwa mangsa turut dirogol.
Posted by Incek Steady on Wednesday 25 June 2025
‼️‼️ https://t.co/xZDidy0n6D pic.twitter.com/tDnyEAtZDC
— AL (@ciraplaici) June 25, 2025
Polis Sahkan Tiada Unsur Rogol, Mangsa Mati Dibunuh
Terbaharu, polis mengklasifikasikan kematian penuntut sebuah universiti swasta di Cyberjaya pada 24 Jun lalu sebagai bunuh berdasarkan kecederaan yang dialami oleh mangsa.
Difahamkan, mangsa yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi disahkan meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian kepala yang berpunca akibat hentakan objek tumpul.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, pihaknya menerima makluman berhubung penemuan mayat mangsa kira-kira jam 10.28 pagi, 24 Jun.
“Siasatan awal di lokasi tidak menemukan sebarang kesan pecah masuk di kediaman mangsa.
“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala mangsa. Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Hasil Bedah Siasat Sahkan Mangsa Mati Akibat Hentakan Objek Tumpul
Tambahnya, hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian akibat hentakan objek tumpul di kepala.
Walau bagaimanapun, tiada kesan kecederaan lain ditemui yang boleh dikaitkan dengan rogol.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Suspek Sempat Lakukan Transaksi Guna Kad ATM Mangsa Selepas Membunuh
Jelas Norhizam lagi, suspek turut dikesan melakukan transaksi menggunakan kad pengeluaran wang automatik ATM selepas mangsa dibunuh.
Ia berdasarkan pengesanan yang dilakukan oleh pihaknya yang mengesan terdapat lima hingga enam transaksi dilakukan di sekitar ibu negara.
“Berdasarkan siasatan kita, suspek lelaki terbabit mula melakukan transaksi pengeluaran wang menggunakan kad perbankan mangsa tidak lama selepas mangsa dibunuh.
“Pada masa ini kita siasatan secara terperinci sedang dijalankan bagi membolehkan pihak polis mengenalpasti identiti suspek sekaligus mengesan keberadaannya,” katanya.
Kad ATM & Wang Tunai Antara Barang Mangsa Yang Hilang
Jelasnya, kad ATM merupakan salah satu barang berharga mangsa yang dilaporkan hilang dalam kejadian bunuh.
“Selain kad ATM, barangan lain yang dilaporkan hilang adalah komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan, beri kami ruang untuk menjalankan siasatan secara lebih lanjut,” ujarnya.
Malah, pihaknya kini sedang mengumpulkan maklumat termasuklah keterangan dari beberapa orang saksi.
Pada masa yang sama, Norhizam turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Mohd Husny Hussien di talian 012-9307860 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Pelajar Tingkatan 5 Bunuh Ibu & Abang, Ini Yang Kita Tahu Setakat Ini
Baca Artikel Berkaitan: Bekas Finalis MasterChef Malaysia Dipenjara 34 Tahun Kerana Bunuh Pembantu Rumah


