fbpx
Now Reading
“Negara Berada Di Landasan Lebih Kukuh”- 55% Rakyat Malaysia Sokong Anwar – Kajian

“Negara Berada Di Landasan Lebih Kukuh”- 55% Rakyat Malaysia Sokong Anwar – Kajian

Tinjauan pendapat oleh Merdeka Center itu menunjukkan majoriti rakyat Malaysia memberi penilaian positif terhadap kepimpinan Anwar ketika Malaysia ke arah kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Dalam sedar tak sedar, sudah lebih dua tahun Malaysia dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah Kerajaan Madani.

Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai perubahan dan pencapaian yang telah dilakukan oleh Kabinet Malaysia yang juga digelar Kerajaan Perpaduan ini.

Sudah pasti segala yang dilakukan oleh kerajaan akan menerima sokongan dan juga tentangan dari segelintir pihak.

55% rakyat Malaysia sokong Anwar

Bagaimanapun, satu tinjauan pendapat oleh Merdeka Center yang dilakukan antara 12 hingga 23 Mei lalu mendapati Perdana Menteri itu menerima kadar kelulusan sebanyak 55% daripada pengundi berdaftar

Tinjauan itu menunjukkan majoriti rakyat Malaysia memberi penilaian positif terhadap kepimpinan Anwar ketika Malaysia ke arah kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara.

“Antara faktor yang menyumbang kepada pandangan optimis ini termasuk persepsi bahawa negara kini berada di landasan yang lebih kukuh, ketidaktentuan politik semakin reda dan kerajaan pimpinan Anwar kini memiliki majoriti dua pertiga di Parlimen.

“Beberapa langkah reformasi institusi seperti pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 turut dilihat sebagai isyarat kepada tadbir urus yang lebih berprinsip,” kata badan penyelidikan itu dipetik Malaysiakini.

Kadar inflasi menurun, terendah dalam tempoh tiga tahun

Menurut Merdeka Center, data kerajaan dari segi ekonomi pula menunjukkan kadar inflasi menurun kepada hanya 1.4% pada Mac 2025, iaitu terendah dalam tiga tahun manakala pertumbuhan ekonomi mencecah 4.4% pada suku pertama (Q1 2025).

“Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700, bantuan kewangan sempena perayaan kepada penjawat awam serta subsidi bahan api yang masih diteruskan turut membantu meredakan keresahan awam terhadap kos sara hidup.

“Walaupun isu ekonomi kekal menjadi kebimbangan utama pengundi, pengunduran subsidi diesel pada 2024 tidak mengakibatkan kejutan harga, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada pengguna,” katanya.

Di peringkat antarabangsa pula, tinjauan itu mendapati imej Anwar turut diperkuat melalui peranan diplomatik seperti menjadi tuan rumah kepada Presiden China, Xi Jinping dan mengetuai Asean pada baru-baru ini.

“Beberapa perjanjian pelaburan dan kerjasama perdagangan serta penglibatan dalam inisiatif Negara-Negara Selatan juga memberi impak positif terhadap persepsi dalam negara,” katanya.

Isu berkaitan keperluan harian jadi penentu sokongan rakyat

Pun begitu, isu berkaitan keperluan harian dan bukannya dasar luar atau pidato antarabangsa terus menjadi faktor penentu sokongan rakyat.

Dengan kos harian yang semakin stabil dan pekerjaan yang lebih terjamin, lebih ramai pengundi memberikan Anwar dan kerajaan kepercayaan bersyarat.

“Dari sudut penilaian terhadap kerajaan persekutuan, tinjauan menunjukkan kadar sokongan meningkat kepada 50 peratus pada Mei 2025 berbanding 40 peratus pada Jun 2024.

“Tahap ketidakpuasan pula menurun kepada 48 peratus daripada 58 peratus tahun lalu. Namun jurang antara penilaian positif dan negatif masih ketat, didorong oleh kebimbangan berterusan terhadap tekanan kos sara hidup dan kemungkinan pemotongan subsidi dalam masa terdekat,” kata Merdeka Center.

50% responden berpendapat negara sedang menuju ke arah yang salah

Tinjauan bagaimanapun mendapati 50% responden berpendapat negara sedang menuju ke arah yang salah. Pun begitu, peratusan ini berkurangan sebanyak 11% berbanding 61% pada tahun sebelumnya.

Manakala 43% responden berpendapat negara kini menuju ke arah yang betul, meningkat daripada 29% pada Jun 2024.

Sebab utama yang mendorong pandangan negatif ini ialah hala tuju ekonomi negara dan prestasi semasa pentadbiran kerajaan.

Tinjauan Merdeka Center ini melibatkan 1,208 pengundi berdaftar yang mencerminkan profil pemilih nasional iaitu:

  • 52% Melayu
  • 29% Cina
  • 7% India
  • 6% Bumiputera Muslim Sabah dan Sarawak
  • 6% Bumiputera bukan Muslim Sabah dan Sarawak

Responden dipilih melalui kaedah pensampelan berstrata rawak berdasarkan kumpulan umur, etnik, jantina dan kawasan DUN.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.