Now Reading
Kes SRC RM27 Juta: Najib Dilepas Tanpa Dibebaskan

Kes SRC RM27 Juta: Najib Dilepas Tanpa Dibebaskan

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, K.Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan Najib, supaya bekas Ahli Parlimen Pekan itu dilepas tanpa dibebaskan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini (20 Jun) dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn. Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, K.Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan Najib, supaya bekas Ahli Parlimen Pekan itu dilepas tanpa dibebaskan.

“Tertuduh dilepas daripada semua pertuduhan dan diperintahkan DNAA. Pendakwaan masih boleh meneruskan kes ini jika bersedia kelak,” kata hakim, lapor Awani.

Kes sudah tertangguh 6 tahun – Peguam Bela Najib

Pada 11 Jun, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berhujah agar beliau diberikan DNAA atas alasan perintah tersebut ketika ini merupakan yang terbaik dan paling sesuai diberikan kepada anak guamnya.

Jelas beliau pada waktu itu, tiada ketentuan yang perbicaraan akan dimulakan dalam tempoh terdekat memandangkan pihak pendakwaan memerlukan masa untuk mendapatkan dokumen yang telah digunakan sewaktu perbicaraan kes SRC melibatkan dana RM42 juta, lapor NST.

Malah beliau berhujah, pihak pendakwaan tidak akan diprejudiskan jika perintah DNAA diberikan kepada Najib.

“Kes ini telah berlanjutan sejak tahun 2019 dan kini kelewatan tersebut telah mencecah enam tahun.

“Dokumen berkaitan kes pertama SRC telah pun diedarkan ke pelbagai mahkamah, termasuk Mahkamah Persekutuan dan dalam prosiding sivil.

“Pihak pembelaan mencadangkan DNAA bagi mengelakkan mahkamah dibebani dengan dokumen yang banyak dan untuk memberi masa kepada pihak pendakwaan membuat persediaan tanpa sebarang prejudis.

“Tertuduh tidak sepatutnya dibiarkan menunggu tanpa kepastian untuk tarikh perbicaraan ditetapkan. Keadilan menuntut kejelasan dan ketetapan untuk kedua-dua pihak,” katanya di hadapan hakim.

Sehubungan itu K. Muniandy menetapkan tempoh seminggu iaitu pada 20 Jun bagi membolehkan beliau meneliti penghujahan dari pihak pembelaan Najib dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul.

Najib pada 2019 buat pengakuan tidak bersalah

Sekitar 2019, bekas Presiden UMNO itu membuat pengakuan tidak bersalah atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta, yang digunakan untuk aktiviti tidak mengikut undang-undang, dalam tiga akaun AmPrivate Banking milik beliau.

Malah beliau pada Ogos 2022 telah melakukan sumpah muhabalah di Masjid Kampung Baru di hadapan jemaah masjid bagi menafikan penglibatan beliau di dalam kes SRC.

Sebagai info, Najib ketika ini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah atas tuduhan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau bagaimanapun telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Pada 2024, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersetuju mengurangkan hukuman dan denda beliau daripada 12 tahun kepada enam tahun (bagi hukuman penjara), manakala denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Berikutan keputusan ini, beliau dijangka bebas pada Ogos 2028.

Baca Artikel Berkaitan: “Saya Tak Redha Rakyat Malaysia Jamah Fitnah” – Najib Angkat Sumpah Muhabalah, Nafi Terlibat Kes SRC [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Hukuman Penjara Najib Dikurangkan Kepada 6 Tahun, Bebas Pada Ogos 2028 – Lembaga Pengampunan

[Artikel lanjut menyusul]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.