fbpx
Now Reading
Bukan Sekadar Sampah, Lebih 10 Mayat Termasuk Bayi Turut Dijumpai Dalam Sungai Klang

Bukan Sekadar Sampah, Lebih 10 Mayat Termasuk Bayi Turut Dijumpai Dalam Sungai Klang

Menurut Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen sepanjang pelaksanaan Projek Mitigasi Banjir bukan hanya mayat malah pelbagai barang ditemui seperti peti sejuk, katil, motosikal, dan tilam.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sungai merupakan salah satu sumber air yang amat penting untuk kesemua hidupan yang ada di atas muka bumi.

Malah orang ramai juga sentiasa dinasihatkan untuk menjaga sungai dengan baik bagi memastikan sumber itu sentiasa bersih dan dapat digunakan oleh generasi akan datang.

Oleh itu, pelbagai inisiatif dilakukan untuk menjaga kualiti sungai antaranya seperti pembersihan, rawatan dan banyak lagi.

Namun setiap kali pembersihan dilakukan tak dinafikan pelbagai sampah sarap dijumpai hasil daripada tindakan pihak tidak bertanggungjawab.

Lebih daripada 10 mayat termasuk mayat bayi dijumpai dalam Sungai Klang

Terbaharu, Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin memaklumkan pelbagai sampah sarap yang dijumpai sepanjang pelaksanaan Projek Mitigasi Banjir Sungai Klang yang dilakukan di bawah inisiatif Selangor Maritime Gateway (SMG).

Apa yang lebih mengejutkan lebih daripada 10 mayat termasuklah bayi ditemui dalam sungai yang sedang dibaikpulih itu.

Katanya mayat yang dijumpai bukan satu insiden yang jarang berlaku sebaliknya hampir setiap bulan. Perkara itu disedari sejak kerja pendalaman serta pelebaran sungai terbabit dijalankan pada 1 November 2022 sehingga ke hari ini.

“Setakat ini, kami telah menyerahkan lebih 10 mayat kepada pihak polis dan bomba untuk siasatan lanjut.

“Malah, kami juga pernah menemui tiga mayat dalam tempoh berturut-turut,” jelasnya, dipetik Sinar Harian.

Jelasnya lagi, LLSB selaku pemaju induk projek di bawah SMG juga berdepan dengan cabaran besar dan memaklumkan antara mayat yang dijumpai termasuk bayi.

Ia secara tidak langsung menjadikan perkara tersebut salah satu aspek paling tidak diduga dalam melaksanakan projek terbabit.

Turut jumpa pelbagai jenis sampah seperti peti sejuk, katil dan banyak lagi

Selain itu, pasukannya juga berdepan dengan masalah pencemaran yang teruk serta menjumpai bermacam-macam jenis sampah berat antaranya peti sejuk, tayar lori, katil, tilam, sofa termasuklah motosikal berada di dasar sungai tersebut.

Syaiful mengakui pelik dengan penemuan sampah berat selain menyifatkan pencemaran di sungai itu serius serta mencabar untuk kerja-kerja pendalaman sungai terbabit dilakukan.

Projek terbabit adalah sebahagian daripada usaha holistik di bawah SMG dalam meningkatkan kapasiti Sungai Klang sehingga 40%. Selain itu, ia juga bertujuan untuk membaik pulih semula ekosistem serta menambah kualiti air ke tahap Indeks Kualiti Air (IKA) Kelas III dan ke atas.

Ingin menjadi Sungai Klang sebagai sumber air mentah yang boleh jadi air minuman

Bukan hanya itu, projek yang turut menyokong inisiatif Shah Alam Sustainable Urban Drainage (SASUD) dan pembangunan bagi loji rawatan air di Sungai Rasau juga dalam usaha menjadikan Sungai Klang sebagai sumber air mentah yang boleh dirawat sehingga menjadi air minuman.

“Sehingga kini, lebih 918,936 meter padu bahan korekan seperti mendapan sampah dan bahan batuan telah dikeluarkan dari dasar sungai.”

Selain itu, projek ini juga membabitkan kerja-kerja seperti:

  • Melebarkan sungai dari 50-60 meter kepada 80-100 meter.
  • Pengukuhan tebing menggunakan kaedah earth bund, sheet pile, geo bag dan flood wall.
  • Penggunaan teknologi terkini dalam sistem tebatan banjir.

Projek dibuat membabitkan lokasi yang berisiko tinggi untuk banjir

Buat masa ini projek yang sedang dilakukan di Shah Alam membabitkan beberapa zon seperti Zon 6, 7 serta 8 iaitu di kawasan Alam Impian, Seksyen 24, Seksyen 17 serta Kota Kemuning yang dikenal pasti menjadi lokasi yang berisiko tinggi banjir.

Jelasnya, LLSB juga memberikan jaminan gangguan kepada komuniti atau penduduk setempat adalah minimun melalui langkah berikut:

  • Laluan alternatif.
  • Pemantauan bunyi dan habuk.
  • Hebahan awal kepada penduduk.

“Projek ini bukan sahaja menambah kapasiti sungai dan mencegah banjir kilat, tetapi juga memulihkan martabat Sungai Klang sebagai aset sumber air dan ekosistem yang lestari.”

Kata Syaiful lagi, pelakasaan ini juga bakal dibuat di kawasan lain sepanjang Sungai Klang akan tetapi ia mengikut keutamaan risiko banjir serta kepadatan penduduk.

“Cabaran kami bukan sedikit, namun kami yakin pendekatan bersepadu seperti ini adalah masa depan pengurusan air dan tebatan banjir di Selangor,” ujarnya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.