“Tunggu Siasatan”- Dakwa Brek Tak Berfungsi, Anthony Loke Minta Pemandu Bas Tak Keluar Sebarang Kenyataan
Menurut Anthony Loke Siew Fook, dakwaan mengenai brek tidak berfungsi itu boleh dibuktikan sama ada betul atau tidak.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Awal minggu ini, negara dikejutkan dengan kemalangan bas persiaran yang berlaku di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik yang membawa 42 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun yang lalu.
Apa yang lebih meruntunkan hati orang seramai 15 orang pelajar dari universiti berkenaan dilaporkan meninggal dunia. Susulan daripada kemalangan itu pemandu bas, Mohd Amirul Fadhil Zulkiflie memohon maaf kepada keluarga mangsa serta pelajar yang terbabit.
Pemandu itu juga mendakwa brek bas berkenaan tidak berfungsi secara tiba-tiba sewaktu memandu kenderaan itu.
Namun tidak lama kemudiannya tular rakaman memaparkan bas persiaran berkenaan bergerak dengan laju sebelum terbabit kemalangan.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Nahas Bas UPSI: Pemandu Mohon Maaf Kepada Keluarga & Pelajar, Dakwa Brek Tiba-Tiba Tak Berfungsi
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Nahas Bas UPSI: Pemandu Ada Rekod 18 Saman, Kebanyakan Kesalahan Kerana Memandu Laju
Anthony Loke beri amaran kepada pemandu jangan keluarkan sebarang dakwaan biar siasatan dibuat
Terbaharu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memberi amaran kepada pemandu bas tersebut untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kemalangan itu.
Jelas Loke, dakwaan pemandu mengenai brek bas itu tidak berfungsi akan dibuktikan melalui siasatan yang sedang dijalankan.
“Brek tidak berfungsi itu adalah perkara yang boleh kita buktikan sama ada betul atau tidak. Kita tidak boleh mengambil secara permukaan sahaja apa yang dikatakan oleh pemandu tersebut, sama ada dia bercakap benar atau tidak.
“Saya hendak memberi amaran kepada pemandu itu, awak jangan cuba hendak menyatakan sesuatu yang tidak benar kerana itu boleh dibuktikan melalui ujian mekanikal,” jelasnya, lapor Kosmo.
Rakaman video papar bas memotong di selekoh turut disiasat
Selain itu, Loke turut memaklumkan terdapat juga beberapa perkara lain yang disiasat termasuklah video yang memaparkan bas memotong kenderaan ketika berada di selekoh.
Kata beliau lagi, syarikat pengendali bas itu turut boleh dibawa ke mahkamah sekiranya didapati gagal mengendalikan perkhidmatannya dengan berkesan.
Pemandu bas ditahan selepas dibenarkan keluar hospital
Dalam satu lagi perkembangan berbeza, pihak polis memaklumkan pemandu bas tersebut telah ditahan sebaik keluar daripada hospital.
Jelas Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, pemandu yang berusia 39 tahun berkenaan ditahan jam 5.45 petang semalam (12 Jun) sebaik dibenarkan keluar dari Hospital Taiping.
Dibawa ke IPD Gerik untuk bantu siasatan
Tambahnya pemandu bas berkenaan bakal dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana telah menyebabkan kematian dengan memandu secara berbahaya.
“Kami sedang menunggu arahan lanjut daripada Pejabat Pendakwa Raya sama ada pemandu bas itu boleh didakwa di mahkamah pada 13 Jun.
“Setakat ini, kami sudah bersedia,” ujarnya, lapor Berita Harian.
Turut difahamkan pemandu bas berkenaan telah diiringi oleh tiga anggota polis dipercayai dari IPD Gerik sewaktu meninggalkan kawasan hospital terbabit.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Nahas Bas UPSI: “Hantar Anak Malam Tadi, Pagi Ini Dapat Tahu Dia Meninggal Dunia” – Ibu
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Ahli MKJR Saran Wajibkan Pakai Seatbelt Dalam Bas Demi Kurangkan Risiko Kemalangan Maut



