Tular Perodua Aruz Dipandu Secara Lawan Arus: Pemandu Rupanya Hilang Fokus Kerana Bergaduh Dengan Isteri [Video]
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), hasil ujian air kencing menunjukkan pemandu Perodua Aruz tersebut bebas daripada sebarang penyalah gunaan dadah dan alkohol.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Boleh dikatakan setiap hari, ada sahaja ragam dan aksi pemandu kenderaan yang tidak bertanggungjawab dirakam dan dikongsikan di media sosial.
Seperti baru-baru ini, tular di media sebuah kereta jenis Perodua Aruz berwarna biru yang dipandu secara melawan arus di Danga Bay, Johor Bahru, Johor dalam kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 1.41 pagi pada 7 Jun lalu.
Menerusi video tular, dapat dilihat kereta berkenaan berselisih dengan beberapa pengguna lain dan hampir menyebabkan kemalangan jalan raya.
Tidak hanya itu, pemandu kereta turut memberhentikan kenderaannya ketika lampu isyarat bertukar menjadi merah namun tidak pula menukar laluan sewaktu lampu isyarat berubah menjadi hijau.
Posted by Said Hakim Shah on Saturday 7 June 2025
Posted by Said Hakim Shah on Saturday 7 June 2025
Pemandu Hilang Fokus Kerana Tengah Gaduh Dengan Isteri Punca Perodua Aruz Dipandu Lawan Arus
Terbaharu, polis mendedahkan tindakan kereta Perodua Aruz yang dipandu secara melawan arus di Jalan Skudai-Pantai Lido dipercayai berlaku gara-gara pemandu terbabit sedang bertengkar dengan isterinya hingga menyebabkan dia hilang fokus.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat, pihaknya mengesan kenderaan tersebut selepas insiden terbabit tular di media sosial.
Jelasnya, Ibu Pejabat Daerah JBS sebelum itu telah menerima makluman daripada Bukit Aman berhubung video tular pada malam tadi (8 Jun).
“Hasil siasatan mendapati kejadian berkenaan berlaku pada Sabtu, 7 Jun, kira-kira jam 1.41 pagi dan memaparkan sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz warna biru dipandu secara melawan arus di Jalan Skudai, Pantai Lido.
“Hasil semakan nombor pendaftaran kenderaan tersebut telah membolehkan pihak polis mengesan identiti pemilik dan pemandu kenderaan sebelum dia diarahkan hadir ke Balai Polis Trafik Johor JBS untuk membantu siasatan.
“Hasil rakaman percakapan pemilik kenderaan yang juga lelaki tempatan berusia 34 tahun yang hadir jam 11.30 malam tadi (8 Jun) mendapati dia mengaku memandu kenderaan secara melawan arus kerana ketika itu sedang berselisih faham dengan isterinya hingga menyebabkan dirinya hilang fokus dan memandu kenderaan memasuki di laluan yang salah,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemandu Bebas Dari Penyalah Gunaan Dadah & Alkohol
Jelas Raub lagi, hasil ujian air kencing menunjukkan pemandu Perodua Aruz tersebut bebas daripada sebarang penyalah gunaan dadah dan alkohol.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahaya.
“Polis meminta orang ramai yang menyaksikan insiden itu untuk hadir ke Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Zulpaka Bambo di talian 014-8861791 bagi membantu siasatan,” ujarnya.
SIARAN MEDIA : KEJADIAN RAKAMAN VIDEO KES VIRAL SEBUAH KENDERAAN DIPANDU MELAWAN ARUS DI JALAN SKUDAI PANTAI LIDO,JOHOR BAHRU
Posted by Polis Daerah Johor Bahru Selatan on Sunday 8 June 2025
Baca Artikel Berkaitan: Pemandu Warga Emas Dakwa Pening Hingga Tak Sedar Bawa Van Sekolah Lawan Arus [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Selamba Pandu Van Sekolah Lawan Arus, Polis Tahan Warga Emas Berusia 74 Tahun [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Myvi Silver Tular Lawan Arus Rupanya Dipandu Warga Emas, Pemandu Sudah Ditahan Polis [Video]



