fbpx
Now Reading
Tengku Zafrul Letak Jawatan UMNO, Mahu Sertai PKR

Tengku Zafrul Letak Jawatan UMNO, Mahu Sertai PKR

Tengku Zafrul telah menghantar surat untuk melepaskan semua jawatan di dalam parti iaitu ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan telah menghantar surat peletakan jawatan dalam UMNO.

Tengku Zafrul menerusi satu kenyataan berkata, beliau telah melepaskan semua jawatan di dalam parti iaitu ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.

Jelas beliau, surat peletakan jawatan tersebut telah dihantar kepada pucuk pimpinan UMNO bahkan beliau telah mendapatkan nasihat daripada pelbagai pihak termasuk Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri.

“Keputusan ini bukan sebuah keputusan yang mudah. Sebelum membuat keputusan ini, saya telah meminta nasihat dan pandangan daripada sahabat-sahabat saya dari dalam dan luar parti termasuk daripada Presiden sendiri.

“Saya telah mengambil masa yang agak panjang untuk memikirkan keputusan ini secara mendalam, terutamanya kerana UMNO adalah satu-satunya parti politik yang saya pernah sertai, sejak tahun 1997 lagi.

“Akhirnya, keputusan ini dibuat setelah bermuhasabah diri dan mengambil kira pelbagai faktor terutamanya faktor keserasian dan kesesuaian,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Sudah nyatakan hasrat sertai PKR

Beliau dalam masa sama juga sudah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.

Beliau juga sedia mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli parti tersebut.

UMNO nafi terima surat letak jawatan

Pun begitu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu belum menerima secara rasmi surat peletakan jawatan Tengku Zafrul.

Tegas beliau UMNO memandang serius niat peletakan jawatan yang dimaklumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu menerusi hantaran di Facebook malam ini.

“Adalah amat tidak wajar untuk mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti-parti lain sewenang-wenangnya.

“Ini bagi mengelakkan berlakunya ketidakharmonian dalam kalangan parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan hingga tercetus pula prejudis dan prasangka berterusan mengenai tahap kesetiakawanan, keikhlasan dan kejujuran sesama sendiri dalam kalangan ahli akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsikan di Facebook miliknya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.