fbpx
Now Reading
Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Didakwa Pecah Amanah Hampir RM860,000

Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Didakwa Pecah Amanah Hampir RM860,000

Sebagai Pengerusi LWHPP pada 2023 lalu, P Ramasamy didakwa melakukan pecah amanah jenayah apabila secara tidak jujur menyalahgunakan harta institusi berkenaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Hari ini (14 April), bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas 17 pertuduhan pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan wang berjumlah hampir RM860,000.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu dan memohon kesnya dibicarakan.

Memetik laporan Harian Metro, permohonan itu dibuat Ramasamy, 76, selepas kesemua pertuduhan terbabit dibacakan di hadapan Hakim Zulhami Abdullah.

Didakwa tak jujur salahguna harta LWHPP

Mengikut pertuduhan pertama hingga 13, tertuduh yang ketika itu sebagai Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (LWHPP) didakwa melakukan pecah amanah jenayah apabila secara tidak jujur menyalahgunakan harta institusi berkenaan.

Beliau dikatakan membuat bayaran berjumlah RM779,131.29 melalui cek dan pindahan telegraf untuk pembelian pedati emas tanpa mendapat kelulusan mesyuarat LWHPP terlebih dahulu.

Bagi pertuduhan ke-14 dan ke-15 pula, bekas Ahli Parlimen Batu Kawan itu didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan bayaran perbelanjaan perubatan menerusi dua cek berjumlah RM65,000.

Manakala dua lagi pertuduhan terakhir, Ramasamy didakwa melakukan pecah amanah membabitkan pembayaran bagi bantuan kewangan pendidikan menerusi dua cek sebanyak RM15,000.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua bank di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan Prangin Mall, Georgetown dalam daerah Timur Laut antara 2 Mei 2019 hingga 18 April 2023.

Ramasamy boleh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda

Susulan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun berserta sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.

Kes terbabit dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuya.

Manakala tertuduh pula diwakili barisan peguam, Dr Shamser Singh Thind, Eng Yuh Pei dan Archana Chandrasekaran.

Hakim kemudiannya membenarkan Ramasamy diikat jamin berjumlah RM78,000 bagi kesemua pertuduhan selain meminta beliau mengikuti semua syarat tambahan yang ditetapkan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat pada setiap bulan.

Difahamkan, kes akan disebut semula pada 16 Julai hadapan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.