Pemandu Bezza Sengaja Langgar Penunggang Motosikal Sudah Ditahan, Ada 4 Rekod Jenayah
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa suspek yang juga pemandu Bezza mempunyai empat jenayah rekod lampau.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini, tular satu video memaparkan sebuah kereta Perodua Bezza yang bertindak melanggar seorang penunggang motosikal.
Dalam video berkenaan kelihatan pemandu melanggar penunggang berkenaan sehingga lelaki itu terjatuh dan terbaring di atas jalan.
Turut kedengaran orang ramai yang berada di kawasan tersebut meminta penunggang motosikal segera beredar daripada jalan berkenaan kerana bimbang sebaik melihat pemandu sekali lagi memusingkan kenderaan menghala ke arahnya.
Polis tahan pemandu Perodua Bezza
Terbaharu, polis bertindak menahan pemandu kereta berkenaan selepas berlaku pertengkaran di Taman Sentosa Klang pada malam 26 April.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Ramli Kasa, pihaknya sudah menerima laporan daripada orang awam berhubung pergaduhan di antara pemandu Perodua Bezza itu dengan penunggang motosikal pada jam 10.20 malam.
Pemandu kereta bunyikan hon sebelum berlaku pertengkaran dengan penunggang motosikal
Jelasnya, menerusi siasatan mendapati penunggang motosikal tersebut yang berusia 50 tahun mengelak daripada beberapa permukaan jalan yang tidak rata.
“Perbuatan itu menyebabkan suspek, lelaki tempatan berusia 37 tahun beranggapan mangsa menunggang secara tidak berhemah serta boleh mengakibatkan kemalangan.
“Suspek kemudian membunyikan hon untuk menegur mangsa, namun mangsa yang tidak puas hati mengejar kereta suspek dan berlaku pertengkaran antara mereka.
“Ketika bertengkar, mangsa menghentak cermin hadapan kereta suspek menggunakan topi keledar sehingga retak.
“Suspek kemudian melanggar mangsa sehingga terseret di bawah kereta suspek,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Alami kecederaan luka, pemandu kereta ada empat rekod jenayah lampau
Suspek kemudiannya beredar dari lokasi kejadian manakala penunggang motosikal telah ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk mendapatkan pemeriksaan serta rawatan.
Tambahnya, penunggang tersebut mengalami kecederaan luka di kedua-dua bahagian kaki, bahu, dan sendi bahu kiri yang terkehel. Mangsa juga dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih lagi menerima rawatan.
“Bahagian siasatan jenayah IPD Klang Selatan telah membuka satu (1) kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan bunuh yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan selama tempoh 20 tahun.
“Pada 27 April jam lebih kurang 1.15 pagi, pasukan polis dari bahagian siasatan jenayah, IPD Klang Selatan telah membuat tangkapan terhadap suspek untuk membantu siasatan.”
Pemandu ada 4 rekod jenayah, polis nasihat orang awam tak tularkan video
Hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau.
“Permohonan reman terhadap suspek telah diluluskan selama empat hari iaitu 30 April. Pegawai penyiasat dalam proses melengkapkan siasatan dan akan rujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh masa terdekat.”
Sementara itu, pihak polis juga sudah mengesan satu video yang tular di media sosial memaparkan insiden terbabut. Orang awam turut dinasihatkan untuk tidak menularkan video berkenaan agar ia tidak menjadi kegusaran terhadap masyarakat.



