fbpx
Now Reading
SPM 2024: 1,789 Calon Gagal Semua Subjek, Kerja Pada Waktu Malam Antara Punca – KPPM

SPM 2024: 1,789 Calon Gagal Semua Subjek, Kerja Pada Waktu Malam Antara Punca – KPPM

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), seramai 1,789 calon SPM 2024 atau 0.5% gagal dalam semua mata pelajaran yang diduduki termasuk subjek Bahasa Melayu atau Sejarah sekaligus tidak melayakkan mereka untuk mendapat sijil.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Hari ini (24 April) sudah pastinya menjadi hari yang paling dinanti-nantikan oleh calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tahun 2024.

Manakan tidak, ia adalah hari penentu hasil kerja keras mereka selama ini. Bukan sahaja pelajar, ibu bapa dan guru juga tidak sabar menantikan keputusan yang bakal diperolehi.

Hasilnya, seramai 14,179 calon memperoleh keputusan cemerlang dengan Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran dan ia merupakan pencapaian terbaik sejak tahun 2013.

Namun, di sebalik pencapaian yang membanggakan ini, jumlah calon yang gagal semua subjek pula turut menunjukkan peningkatan.

1,789 Calon SPM Gagal Semua Subjek, Meningkat Berbanding Tahun 2023

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Datuk Azman Adnan, seramai 1,789 calon SPM 2024 atau 0.5% gagal dalam semua mata pelajaran yang diduduki termasuk subjek Bahasa Melayu atau Sejarah sekaligus tidak melayakkan mereka untuk mendapat sijil.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2023 yang hanya merekodkan sebanyak 1,467 atau 0.4% calon.

Tidak Fokus Kepada Pembelajaran & Ada Yang Bekerja Pada Waktu Malam Antara Punca

Jelas Azman, tidak fokus kepada pembelajaran serta sebahagian besarnya bekerja pada waktu malam khususnya di bandar menjadi antara punca keadaan ini.

Selain itu, hasil analisis Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga mendapati ada segelintir calon berhadapan dengan isu dalam literasi dan numerasi serta kurangnya sokongan pembelajaran di rumah.

“Itu sebab saya sebut, (isu) kekeluargaan beri kesan kepada pencapaian murid,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.

KPM Akan Buat Postmorterm Isu Calon Gagal Semua Mata Pelajaran

Pada masa yang sama, KPM akan membuat postmortem ekoran peningkatan jumlah tersebut bagi mengenal pasti faktor signifikan yang menyebabkan kegagalan mereka.

“Walaupun secara keseluruhannya SPM 2024 menunjukkan peningkatan signifikan daripada pelbagai aspek khususnya pencapaian akademik pelajar, KPM turut mengambil serius peningkatan calon yang gagal semua mata pelajaran,” katanya.

Malah, KPM sedang memperkukuh program pemulihan berhubung keupayaan murid untuk menjalani peperiksaan SPM 2025.

“KPM turut melakukan persediaan lebih awal bagi memastikan isu kegagalan murid ini tidak menjadi isu berulang pada masa akan datang,” katanya.

Peningkatan Calon Gagal Diharap Dapat Beri Semangat Kepada Guru

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan pihaknya memandang serius golongan pelajar yang tercicir itu.

“Kita berharap peningkatan ini (jumlah calon gagal) memberikan semangat kepada guru-guru untuk menguasai dan memberikan tumpuan terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

“Guru-guru juga perlu membantu untuk terus memberikan tumpuan kepada segmen-segmen yang perlu diperbaiki berdasarkan keputusan hari ini. 

“Jadi, secara keseluruhannya, kita akan terus mengambil langkah-langkah penting untuk menambah baik keputusan ini. Saya yakin, ia juga berada dalam radar KPM,” katanya yang dipetik dari Utusan Malaysia.

Untuk info, seramai 402,918 calon telah mendaftar bagi peperiksaan SPM 2024 pada tahun ini.

Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1.7% atau 6,994 calon berbanding tahun sebelumnya.

Baca Artikel Berkaitan: Ikut Trend Nobita? Ramai Hairan Pelajar Bangga Tayang Keputusan Gagal SPM

Baca Artikel Berkaitan: Mahu Kerja Di Singapura Jadi Punca 900 Pelajar Di Johor Tak Ambil SPM 2024

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.