LHDN Anjur Majlis Sambutan Hari Raya, Santuni Anak Yatim
Tema “Raya Gaya HASiL” mencerminkan usaha berterusan agensi itu untuk mewujudkan suasana kerja yang inklusif, harmoni dan mesra selaras dengan nilai-nilai murni yang menjadi teras organisasi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Meraikan Syawal dengan penuh keberkatan, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri HASiL 2025 yang disambut meriah di Menara HASiL Cyberjaya pada Rabu (24 April).
Bertemakan “Raya Gaya HASiL”, majlis yang cukup bermakna ini diangkat sebagai komitmen HASiL untuk terus menyemai sikap kesyukuran dan memupuk nilai kebersamaan yang harmoni dalam kalangan warga kerja HASiL dan komuniti.
Tema ini mencerminkan usaha berterusan HASiL untuk mewujudkan suasana kerja yang inklusif, harmoni dan mesra selaras dengan nilai-nilai murni yang menjadi teras organisasi.
Majlis yang dihadiri oleh warga kerja HASiL ini turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying; Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Anggota LHDNM, Datuk Johan Mahmood Merican; anggota-anggota Lembaga LHDNM, tetamu-tetamu jemputan termasuk wakil agensi kerajaan, badan korporat, pihak-pihak berkepentingan dan media.

HASiL turut memanfaatkan majlis ini dengan menyantuni golongan memerlukan menerusi sesi penyampaian sumbangan yang disampaikan oleh Lim Hui Ying, kepada rumah kebajikan anak-anak yatim seperti yang berikut:
- Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Dan Miskin (PKAYMS)
- Pusat Jagaan Rumah Bakti Nur Ain, Bangi
- Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras
Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, majlis sambutan Aidilfitri dan rumah terbuka yang diraikan sehingga ke penghujung Syawal, menandakan betapa semangat wasilah ukhuwah dan silaturahim terus utuh menjadi tradisi dalam budaya masyarakat Malaysia.

Menurut beliau, nilai sosial yang begitu istimewa dan tidak ternilai harganya, lahir dari ketulusan hati, dibina atas dasar saling hormat menghormati tanpa mengira bangsa dan agama.
“HASiL akan terus meraikan tradisi rumah terbuka ini sebagai platform untuk mengeratkan ukhuwah, memupuk perpaduan, serta mengukuhkan hubungan antara pemegang taruh, pihak berkepentingan, RASH dan warga kerja HASiL.”