Isu Jalur Gemilang Tanpa Bulan Sabit: Bendera Lambang Kedaulatan & Identiti Negara – Agong
Sultan Ibrahim turut menegaskan kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti yang dilakukan akhbar tersebut boleh menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini, tular di media sosial berhubung isu bulan sabit yang tiada pada Jalur Gemilang yang diletakkan oleh sebuah akhbar bahasa Cina iaitu Sin Chew Daily.
Susulan daripada isu tersebut, akhbar berkenaan kemudiannya tampil memohon maaf dan memaklumkan berlaku masalah teknikal yang tidak disengajakan.
Walaupun sudah membuat permohonan maaf, namun perkara itu telah menarik perhatian ramai termasuklah pemimpin negara dan ahli akademik yang memandang serius berhubung isu tersebut.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Dikritik Guna Gambar Jalur Gemilang Tanpa Bulan Sabit, Akhbar Sin Chew Daily Mohon Maaf
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Isu Jalur Gemilang Tanpa Bulan Sabit: Ahli MKT UMNO Gesa Kerajaan Tarik Lesen Penerbitan Sin Chew Daily
Agong tegaskan bendera Malaysia bukan sekadar kain bercorak
Terbaharu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah dengan menegaskan bendera merupakan lambang kepada kedaulatan dan identiti bagi sesebuah negara.
Titah baginda, ia bukanlah sekadar kain bercorak yang berwarna-warni, sebaliknya ia mewakili kepada perjuangan, sejarah, erti kemerdekaan dan juga semangat masyarakat.
Kesilapan papar bendera Malaysia tanpa bulan sabit boleh sentuh sensitiviti rakyat
Baginda turut menyifatkan kesilapan memaparkan gambar bendera Malaysia tanpa bulan sabit boleh menyentuh sensitiviti rakyat.
“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.
“Kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan dalam muka hadapan di sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima,” titahnya di dalam satu hantaran di Facebook.
Selain itu, baginda turut bertitah agar pihak pengurusan serta jabatan pengarang akhbar terbabit sepatutnya lebih peka dan membuat semakan sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum ia dicetak untuk siaran.
KDN jalankan siasatan terhadap Sin Chew Daily
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mula menjalankan siasatan dengan memanggil pihak akhbar terbabit mengenai penyiaran ilustrasi bendera Malaysia dalam bentuk yang tak lengkap dalam penerbitan muka hadapannya pada 15 April.
Dalam kenyataan rasmi yang dikongsikan di Facebook, KDN memandang serius serta kesal dengan perbuatan akhbar terbabit.
Jelasnya KDN memulakan tindakan siasatan serta merta dengan berpandu kepada dua perundangan yang berkaitan iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akat 301].
“Perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang merupakan lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah sesuatu kecuaian yang serius dan tidak sewajarnya dilakukan.
“Selain itu, perbuatan ini juga bukan sahaja mencerminkan kelalaian profesionalisme, malah boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakt majmuk negara ini.
“Jalur gemilang bukan sekadar simbol: ia adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional negara ini yang wajib dihormati serta dimartabatkan oleh semua pihak,” jelasnya lagi dalam kenyataan itu.
Tindakan tegas akan diambil bagi mereka yang gagal mematuhi spesifikasi rasmi
Tegas kementerian itu, mana-mana pihak yang gagal mematuhi spesifikasi rasmi seperti yang diperuntukkan boleh dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang semasa yang berkuatkuasa.
Dalam masa sama, KDN turut tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuai dalam menerbitkan sebarang hasil penerbitan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam sepertimana yang diperintukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
KDN juga memaklumkan sudah memanggil pihak Sin Chew Daily pada hari ini (16 April) untuk tujuan siasatan dan Surat Tunjuk Sebab turut diserahkan.
“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. KDN tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat serta mengancam kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan negara.”



