fbpx

Warga Emas Ditahan Polis, Disyaki Dera Penghuni Rumah Perlindungan Kanak-kanak

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, pasangan warga emas itu dijadualkan direman hari ini (11 April) untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sejak semalam (10 April), kecoh di media sosial mengenai satu video pendedahan mengejutkan yang dimuat naik di akaun Instagram Malaysia Fight League mengenai keadaan sebuah rumah kebajikan kanak-kanak di Cheras, Selangor.

Pemilik serta penjaga rumah kebajikan itu didakwa telah mengurung penghuni-penghuninya yang terdiri daripada kanak-kanak di dalam bilik yang berkunci.

Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor mengesahkan ada menerima aduan berhubung perkara terbabit dan laporan siasatan serta pemantauan sedang disediakan.

Polis tahan pasangan warga emas, disyaki dera penghuni rumah perlindungan kanak-kanak

Terbaharu, polis telah menahan sepasang suami isteri warga emas yang juga pemilik serta penjaga rumah perlindungan kanak-kanak persendirian terbabit yang terletak di Batu 9, Cheras.

Pasangan suami isteri itu ditahan pada semalam kerana disyaki mendera penghuni premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pasangan berusia 66 dan 68 tahun itu ditahan kira-kira jam 3.20 petang.

Pasangan warga emas direman hari ini untuk siasatan lanjut

Menurutnya, kedua-duanya dijadualkan direman hari ini (11 April) untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jelas Naazron, penangkapan dilakukan selepas pihaknya menerima satu laporan pada jam 10.08 malam 1 April lalu daripada seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang mendakwa didera dengan cara dimarahi serta ditampar pada pipi kiri oleh pemilik dan penjaga rumah kebajikan itu.

“Mangsa mendakwa didera atas alasan tidak mahu mendengar kata-kata pemilik dan penjaga rumah itu.

“Terdapat dua laporan polis yang turut dibuat saksi lain berkenaan tindakan pihak pemilik serta penjaga rumah perlindungan itu yang disyaki mendera emosi dan mental kanak-kanak yang menghuni tempat berkenaan sebelum ini,” katanya dipetik Berita Harian.

Berkongsi lanjut, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor R Ravin di talian 012-6269250 bagi membantu siasatan.

Tular video dakwa rumah kebajikan kurung penguni macam haiwan

Terdahulu, isu berkaitan rumah perlindungan kanak-kanak itu mula tular di media sosial selepas didedahkan oleh pihak penganjur acara Malaysia Fight League sebelum dikongsikan pula oleh penyanyi rap, Caprice di akaun Instagram miliknya.

Pihak penganjur seni mempertahankan diri itu pada awalnya hadir ke rumah kebajikan berkenaan untuk memberi sumbangan seperti makanan, pakaian serta hadiah kepada kanak-kanak yang menghuni di sana.

Bagaimanapun, rasa curiga mula muncul selepas pemilik rumah kebajikan terbabit tidak membenarkan mereka untuk memberi makanan serta hadiah, malah layanan yang diterima juga kurang memuaskan.

Di dalam rakaman itu, beberapa penghuni yang terdiri daripada kalangan kanak-kanak didakwa telah dikurung dalam sebuah bilik berkunci seakan-akan haiwan dalam sangkar.

Baca Artikel Berkaitan: Tular Video Dakwa Rumah Kebajikan Di Selangor Kurung Penghuni Macam Haiwan

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.