Kes Buli MRSM: 5 Pelajar Telah Dirakam Keterangan, MARA Perhalusi Cadangan Ambil Bekas Tentera & Polis Jadi Warden
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, lima pelajar berkenaan termasuk mangsa telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan sebelum kesemuanya telah dibenarkan pulang ke rumah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, tular di media sosial video yang menunjukkan seorang pelajar lelaki sebuah sekolah berasrama penuh dipercayai dibuli oleh beberapa orang murid yang lain.
Difahamkan, kejadian berlaku di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang terletak di Pulau Pinang.
Insiden itu nyata menarik perhatian ramai termasuklah Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang segera menyiasat dan mengesahkan kejadian buli tersebut.
Malah menerusi hantaran terbaharunya di Facebook, Asyraf Wajdi memaklumkan tujuh pelajar telah terlibat.
Namun Jawatakuasa Disiplin Maktab mendapati dua daripadanya melakukan buli fizikal manakala yang lain hanya bersubahat. Malah, Jawatankuasa itu turut mengesyorkan kesemuanya ditamatkan pengajian dari MRSM.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Deputi Superintendan Mohd Norazmi Abd Ghapar menjelaskan tiada laporan diterima berhubung kejadian tersebut namun pihaknya telah menjalankan siasatan awal serta mengenal pasti pelajar terlibat.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Buli MRSM: 7 Pelajar Terlibat, Disyorkan Ditamatkan Pengajian – Asyraf Wajdi
Polis Rakam Keterangan 5 Daripada 7 Pelajar
Terbaharu, polis mendedahkan pihaknya telah merakam keterangan lima daripada tujuh pelajar MRSM yang dipercayai terlibat dengan kejadian buli itu.
Menurut Mohd Norazmi, pelajar berkenaan termasuk mangsa telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan sebelum kesemuanya dibenarkan pulang ke rumah.
“Baki dua lagi pelajar akan diambil keterangan dan akan disiapkan (keterangan) dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.
“Ketujuh-tujuh mereka merupakan pelajar di Tingkatan Tiga. Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan,” katanya yang dipetik daripada Kosmo.
MARA Akan Perhalusi Cadangan Lantik Bekas Tentera & Polis Sebagai Warden Sepenuh Masa
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menjelaskan pihaknya akan memperhalusi cadangan pelantikan kontrak bekas tentera dan polis sebagai warden sepenuh masa di MRSM seluruh negara.
Jelas beliau, cadangan itu dikemukakan olehnya sewaktu perbincangan bersama Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman dalam memastikan insiden buli dikekang sepenuhnya.
“Antara yang saya minta pihak pengurusan perhalusi ialah cadangan untuk menempatkan warden sepenuh masa berjawatan kontrak di semua MRSM seluruh Malaysia.
“Warden ini boleh dilantik melalui proses temu duga dan penilaian holistik terhadap calon-calon dalam kalangan pesara tentera mahupun polis yang mempunyai keupayaan yang baik untuk menerapkan elemen disiplin serta memantau secara lebih komprehensif pembangunan sahsiah dan keperibadian pelajar di asrama,” katanya.
Cadangan Pelantikan Warden Dari Bekas Tentera & Polis Pernah Disuarakan Sebelum Ini
Terdahulu, cadangan pelantikan bekas tentera dan polis serta pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai warden pernah disuarakan oleh seorang bekas guru yang dikenali sebagai Mohd Fadli Mohamed Salleh.
Jelasnya, tugas berkenaan tidak sesuai diberikan kepada guru memandangkan peranannya amat berat dan memerlukan perhatian sepenuh masa.
“Jangan humban tugas warden pada guru. Bagi sahaja kuasa kepada warden untuk merotan dan menghukum selagi tidak sampai tahap mendera.
“Aku rasa lebih lima kali aku tulis pasal warden ini. Tapi tidak mahu dengar atau dengar tapi tidak mahu bertindak.
“Ini kes yang tular dan tersebar. Banyak kes buli didiamkan dan tidak tular berlaku di banyak sekolah berasrama termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan MRSM juga,” katanya di Facebook.
Bekas Guru Yakin Gejala Buli Akan Menurun Jika Cadangan Direalisasikan
Malah, Mohd Fadli yang juga popular dengan gelaran Cikgu Fadli yakin bahawa kes buli dalam kalangan pelajar akan menurun jika cadangan tersebut diwujudkan.
“Kalau letak warden bekas askar, setiap hari dan setiap masa bersama pelajar, aku yakin dan percaya budaya buli akan menurun mendadak.
“Harap sangat MRSM dapat jadi perintis kemudian diikuti oleh semua sekolah-sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga,” katanya.
Banyak kali dah aku tulis dan cakap, "Wujudkan jawatan warden tetap. Ambil pencen askar, pesara polis, pelatih PLKN jadi…
Posted by Mohd Fadli Salleh on Monday 7 April 2025
Baca Artikel Berkaitan: Kes Buli MRSM: 7 Pelajar Terlibat, Disyorkan Ditamatkan Pengajian – Asyraf Wajdi
Baca Artikel Berkaitan: “Tiada Kompromi, You Touch You Go” – Tular Dakwaan Buli Di MRSM, Ini Respon Asyraf Wajdi

