fbpx
Now Reading
Bapa Luah Rasa Sedih, Hasrat Aysar Zahran Kerja Di Firma Audit Big 4 Tidak Kesampaian

Bapa Luah Rasa Sedih, Hasrat Aysar Zahran Kerja Di Firma Audit Big 4 Tidak Kesampaian

Difahamkan, Allahyarham Aysar Zahran yang berusia 20 tahun merupakan pelajar cemerlang bidang perakaunan dan penerima Biasiswa MyPAC – Maybank Islamic Berhad Scholar.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pada 2 Februari lalu, tular di media sosial video kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Alza yang merempuh empat buah motosikal dan sebuah kereta berhampiran kawasan Jalan Hulu Langat-Ampang, Kuala Lumpur.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.45 petang itu, kereta Perodua Alza yang datang dari arah bertentangan secara tiba-tiba memasuki laluan dan merempuh lima kenderaan tersebut.

Akibat daripada rempuhan berkenaan, seorang penunggang motosikal Aysar Zahran Saiful Alimin maut di tempat kejadian.

Difahamkan, mangsa yang berusia 20 tahun merupakan pelajar cemerlang bidang perakaunan dan penerima Biasiswa MyPAC – Maybank Islamic Berhad Scholar.

Malah, arwah juga pernah mencipta kejayaan luar biasa apabila mendapat tempat pertama di Malaysia dan kedua di dunia bagi kertas Management Information 1 (MA1) dalam peperiksaan Foundations in Accountancy (FIA) pada Disember 2023.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Alza ‘Makan Jalan’ Rempuh 5 Kenderaan Di Bukit Ampang, Seorang Penunggang Motosikal Maut

Aysar Zahran Simpan Cita-Cita Mahu Kerja Di Firma Audit Terbesar

Bapa Aysar Zahran yang dikenali sebagai Saiful Alimin Mohd Mokhtar mendedahkan anaknya bercita-cita mahu menjadi akauntan di firma audit terbesar dunia.

Malah, hasrat itu pernah diberitahu oleh mangsa beberapa kali kepadanya.

“Saya memberi galakan sepenuhnya kepada dia kerana ia merupakan peluang kerjaya yang baik malah saya juga mempunyai beberapa rakan yang bekerja sebagai akauntan. Jadi, saya selalu beritahu Allahyarham supaya mengambil contoh daripada mereka.

“Walaupun sangat sedih kehilangannya saya reda dengan kejadian ini,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Terkilan Ada Pihak Beritahu Pemandu Perodua Alza Reka Cerita

Memetik Kosmo, Saiful Alimin meluahkan rasa terkilan apabila dia diberitahu bahawa pemandu yang disyaki melanggar anaknya itu mendakwa kejadian sebaliknya yang berlaku.

“Saya reda anak saya pergi dalam kejadian ini cuma saya terkilan sebab (pelaku) yang melanggar itu memburuk-burukkan anak saya.

“Dia kata anak saya yang langgar dia dan masuk laluan bertentangan. Nasib baik lepas itu keluar video yang menunjukkan situasi sebenar kejadian,” katanya.

Bapa Sifatkan Anak Seorang Yang Baik & Lemah Lembut

Malah, Saiful Alimin menyifatkan anak lelakinya itu seorang yang baik dan lemah lembut selain sentiasa menunggang motosikal dengan berhemah.

Jelas Saiful Alimin yang berusia 58 tahun, ketika kejadian, mangsa yang merupakan pelajar semester dua di TYMBA Education Group sedang dalam perjalanan pulang ke penginapan di kolejnya yang terletak di Gombak selepas melakukan aktiviti memanah dan sempat singgah di rumahnya yang terletak di Hulu Langat, Selangor.

“Saya menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung kejadian ini kepada pihak berkuasa dan berharap anak saya akan mendapat keadilan sewajarnya. Saya juga berterima kasih kerana banyak pihak sudi menjadi saksi,” katanya lagi.

Pensyarah Turut Kongsi Sikap Baik Arwah

Dalam pada itu, seorang pensyarah, Gary Danny mendedahkan dia juga pernah diberitahu oleh Aysar Zahran mengenai cita-citanya yang mahu bekerja di salah satu empat firma audit terbesar dunia atau ‘the big four’ bagi membantu keluarga.

“Setahu saya Aysar Zahran bukan datang daripada keluarga senang dan dia turut menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran.

“Saya mengenalinya sebagai seorang yang peramah dan mudah tersenyum serta mempunyai usaha tinggi untuk berjaya, dalam kelas dia memang suka duduk di barisan paling hadapan,” katanya.

Kongsi Momen Gembira Bersama Arwah

Difahamkan, Gary pernah mengajar Aysar Zahran bagi kertas peperiksaan MA1 dalam peperiksaan ACCA-FIA hingga Allahyarham melakar kejayaan yang cemerlang.

“Kenangan paling manis dikongsi bersama Aysar Zahran ialah apabila saya menghubunginya menerusi telefon untuk memberitahu keputusan peperiksaan tersebut dan kami sama-sama menjerit gembira di telefon,” jelasnya lagi.

Difahamkan, jenazah Allahyarham Aysar Zahran tiba di Masjid Al-Muttaqin kira-kira jam 4.30 petang semalam (3 Februari) untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 16, Hulu Langat.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Alza ‘Makan Jalan’ Rempuh 5 Kenderaan Di Bukit Ampang, Seorang Penunggang Motosikal Maut

Baca Artikel Berkaitan: 2 Penunggang Motosikal Melambung Dirempuh Kereta Di Kelantan Gara-gara Langgar Lampu Merah [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.