Kecil-Kecil Cili Padi! Si Cilik 2 Tahun Berjaya Cipta Nama Di Kejohanan Pushbike Dunia
Pencapaian si cilik yang dikenali sebagai Cun Cuna layak dibanggakan kerana dia bersaing bersama 13 peserta dari negara lain termasuk seorang wakil Malaysia yang menduduki tempat kelapan di peringkat akhir Kejohanan Pushbike Dunia (RCS Runbike World Championship 2025).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui setiap fasa umur kanak-kanak merupakan satu proses pembelajaran. Si cilik akan mempelajari kemahiran tertentu mengikut perkembangan usia mereka.
Bagi kanak-kanak yang berusia dua tahun, kebiasaannya mereka akan menghabiskan masa dengan bermain serta meneroka perkara baharu dalam kehidupan.
Malah di usia sebegini juga, kebanyakan mereka masih memerlukan kehadiran dan pemantauan ibu bapa atau penjaga ketika menjalani aktiviti harian.
Kanak-Kanak Perempuan Tempa Nama Di Peringkat Antarabangsa
Tatkala si cilik berusia dua tahun yang lain sedang mempelajari perkara baharu, kanak-kanak perempuan ini berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa dalam Kejohanan Pushbike Dunia (RCS Runbike World Championship 2025).
Walaupun tidak menduduki tempat ketiga teratas, kanak-kanak yang dikenali sebagai Nur Adawiyah Husna Mohammad Amirul tetap membanggakan Malaysia dengan mengakhiri saingan di tangga keempat.
Pencapaian si cilik yang juga dikenali sebagai Cun Cuna sememangnya layak dibanggakan kerana dia bersaing bersama 13 peserta dari negara lain termasuk seorang wakil Malaysia yang menduduki tempat kelapan di peringkat akhir kejohanan tersebut.
Bapa Bangga Dengan Pencapaian Anak
Menurut bapa yang juga pengiring Cun Cuna, Mohammad Amirul Mohammed Ali, anak perempuannya itu bersaing dalam kategori dua tahun dengan pusingan akhir pada jam 10 pagi selepas melepasi semua saringan di peringkat kelayakan pada Sabtu (18 Januari) lalu.
Jelas Mohammad Amirul, dia tetap bangga dengan pencapaian anaknya itu kerana baginya bukan mudah untuk Cun Cuna sampai ke tahap tersebut memandangkan pencapaian itu memerlukan persediaan, komitmen serta dana yang banyak.
Si Cilik Tidak Patah Semangat Walaupun Hadapi Cabaran
Kongsinya lagi, cuaca sejuk yang mencecah enam darjah Celsius menjadi antara cabaran yang terpaksa dihadapi oleh mereka lebih-lebih lagi dalam keadaan yang tidak sihat kerana mengalami batuk berkahak.
Keadaan sebegitu langsung tidak mematahkan semangat si cilik untuk terus berlumba hingga ke garisan penamat.
“Walaupun tak jadi juara dan dapat tempat tiga teratas, saya tetap bangga serta berpuas hati kerana dapat lihat anak mewakili negara di pentas dunia serta berada di kelasnya tersendiri.
“Nak ke sini bukan dekat dan nak sampai hingga pusingan akhir pun tak mudah kerana menuntut pengorbanan seperti masa untuk anak berlatih.
“Lagipun, saya juga ada komitmen kerana bekerja sambil belajar yang juga menjadi cabaran untuk melatihnya,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Bapa Anggap Penyertaan Anak Sebagai Pengalaman Berharga
Jelasnya, pencapaian kanak-kanak perempuan itu diperingkat dunia dianggap amat berharga dan sebagai kenangan terindah yang tidak akan dilupakan.
Tambah Mohammad Amirul lagi, penyertaan dan kejayaan si cilik itu sedikit sebanyak membantu menebus kehampaan selepas anak keduanya, Mohammad Firas Amsyar gagal dalam Kejohanan Dunia Strider Cup 2023 dua tahun yang lalu kerana terjatuh ketika di pusingan akhir.
“Kami buat persediaan setahun lebih awal untuk menyertai kejohanan itu dan jujurnya bukan nak kejar ranking (kedudukan).
“Sebaliknya, saya beri dorongan anak turut serta berlumba di peringkat dunia untuk tengok sejauh mana kemampuannya kerana sebelum ini dia sering menjuarai kejohanan besar dalam negara dan antarabangsa dengan sokongan daripada Persatuan Berbasikal Negeri Johor.
“Selain jaga pemakanan dan disiplin, saya juga menyediakan rim basikal khas untuk anak hasil ilmu dipelajari serta pengalaman selaku penuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor,” katanya.
Kejayaan Anak Bukti Malaysia Mampu Bersaing Di Peringkat Antarabangsa
Mohammad Amirul yang bertugas sebagai pembantu penguat kuasa di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor berpendapat Kejayaan Cun Cuna juga membuktikan bahawa anak Malaysia mampu bersaing dengan atlet cilik di peringkat antarabangsa.
“Diharap ibu bapa di luar sana dapat memberi galakan untuk anak mereka bersukan dan menyertai aktiviti sihat,” ujarnya.
Mohammad Amirul dan Cun Cuna dijangka pulang ke tanah air pada 21 Januari ini.
Alhamdulillah Ranking no.4 Dunia Maafkn Cuna 🙏 Cun Cuna da habis buat yg terbaik utk Malaysia dan negeri Johor. Terima…
Posted by Amirul Ali on Saturday 18 January 2025
FUJISANMESSE, JAPAN – 18 January 2025. Juara cilik berusia 2 tahun, Nur Adawiyah Husna Binti Mohammad Amirul atau lebih…
Posted by Pushbike Johor on Friday 17 January 2025
Baca Artikel Berkaitan: