Kelantan Larang Aktiviti Hiburan & Bunyi-Bunyian Muzik Pada Malam Jumaat – EXCO
Difahamkan, peraturan larangan hiburan dan bunyi-bunyian muzik pada malam Jumaat di Kelantan bukanlah sesuatu yang baru kerana telah dilaksanakan sejak lebih 30 tahun yang lalu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kelantan tidak membenarkan sebarang bentuk aktiviti hiburan atau bunyi-bunyian muzik pada setiap malam Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata perkara itu termaktub dalam Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.
“Garis panduan ini bersesuaian dengan galakan sebagai Muslim untuk memperbanyakkan amal ibadah pada malam Jumaat,” katanya dipetik agensi berita, Bernama.
Hilmi berkata demikian susulan isu ujian sistem siar raya pada satu majlis berdekatan sebuah masjid di Kota Bharu pada baru-baru ini.
Larangan hiburan dan bunyi-bunyian muzik pada malam Jumaat bukan sesuatu yang baru
Memetik Harakah Daily pula, peraturan larangan hiburan dan bunyi-bunyian muzik pada malam Jumaat itu bukanlah sesuatu yang baru kerana ia telah dilaksanakan di negeri terbabit sejak lebih 30 tahun yang lalu.
Ahli Majlis, Majlis Daerah Gua Musang, Azman Ahmad berkata, malam Jumaat wajar tidak diakan sebarang bentuk persembahan hiburan sebagai menghormati penghulu segala hari itu.
Jelas Azman, peraturan ini sudah dikuatkuasa di negeri Serambi Mekah itu sejak awal pentadbiran ulama di bawah dasar Membangun Bersama Islam.
Malam Jumaat hanya sesuai diadakan program dakwah dan kuliah agama
Pengelola Dakwah Halaqat Gua Musang, Rizwadi Ismail pula berkata, malam Jumaat hanya sesuai diadakan program dakwah dan kuliah agama.
“Langkah Kelantan tidak membenarkan sebarang bentuk hiburan dan bunyi-bunyian malam Jumaat sudah menjadi budaya di Kelantan sejak lebih 30 tahun lalu,” kata Rizwadi.
Sangkal dakwaan tukang cuci dan pekerja pembersihan tidak dibayar gaji
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud pula menyangkal dakwaan isu tukang cuci dan pekerja pembersihan di Kompleks Kota Darulnaim tidak dibayar gaji.
“Selama ini, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) tidak ada masalah mengendalikan staf termasuk tukang cuci, bahkan gaji dibayar lebih awal daripada tarikh sepatutnya dan tidak pernah ada tunggakan,” ujarnya.
Beliau berkata, susulan itu siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang sengaja menyebarkan perkara terbabit.
Terdahulu, SUK Kelantan menafikan laporan yang mendakwa 20 tukang cuci dan pekerja pembersihan di Kompleks Kota Darulnaim tidak dibayar gaji sejak bulan Mac lalu.



