fbpx
Now Reading
Lari Rumah & Ikut Kekasih Jadi Punca Utama Kes Orang Hilang Di Malaysia – Saifuddin Nasution

Lari Rumah & Ikut Kekasih Jadi Punca Utama Kes Orang Hilang Di Malaysia – Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri itu berkata, bagi mengatasi masalah sebegini, setiap keluarga perlu memastikan keadaan di dalam dan luar rumah mestilah kondusif.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kebelakangan ini, semakin banyak kes kehilangan orang terutamanya golongan muda yang dilaporkan umpama cendawan yang tumbuh selepas hujan.

Kes sebegini sememangnya membimbangkan orang ramai lebih-lebih lagi keselamatan diri sendiri dan juga ahli keluarga.

Jika berlaku kes kehilangan orang, pasti perkara pertama yang terlintas difikiran ramai adalah kerana perbuatan jenayah seperti culik dan sebagainya.

Lari rumah & ikut kekasih jadi punca tertinggi kes orang hilang di Malaysia

Pun begitu, punca tertinggi kes orang hilang yang dilaporkan di Malaysia adalah kerana lari daripada rumah dan ikut kekasih.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi kes lari rumah, banyak yang disebabkan ikut kawan tanpa pengetahuan ibu bapa dan ahli keluarga.

“Bila sampai tempoh 24 jam dan ada yang masuk ke dua hari, mak ayah buat laporan hilang. Kemudian polis siasat, rupanya anak mereka ikut kawan.

“Punca kedua tertinggi orang hilang ialah ikut kekasih. Kes ini sama juga, tak beritahu penjaga dan sebagainya.

“Seterusnya, ada kes orang hilang ini yang dilaporkan disebabkan memang jiwanya nak mencari kebebasan. Mencari kebebasan sebenarnya bukan orang hilang, tetapi lebih kepada salah faham atau krisis dengan keluarga,” katanya dipetik Sinar Harian.

Menurutnya, bagi mengatasi masalah sebegini, setiap keluarga perlu memastikan keadaan di dalam dan luar rumah mestilah kondusif.

Perlu bina persefahaman dan komunikasi yang baik

Jelas Saifuddin lagi, ibu bapa, keluarga atau penjaga harus membina persefahaman dan komunikasi yang baik.

Menurutnya lagi, ini kerana ada antaranya berpunca daripada komunikasi yang tidak dapat diluah sehingga menyebabkan ada ahli keluarga yang mencari jalan keluar sendiri.

“Selain itu, ada juga insiden orang hilang disebabkan dilarikan oleh penjaga yang sah. Mak ayah bergaduh dan tak tinggal sekali. Kadang-kadang, mak yang bawa anak tetapi bapa tak tahu sedangkan giliran bapa.

“Bila mak ambil anak dua, tiga hari dan tak kembalikan, maka dia lapor sebagai hilang tapi sebenarnya diambil oleh penjaga yang sah.

“Ada kes orang hilang disebabkan kemalangan. Dia (mangsa) pergi jungle trekking misalnya, beriadah di sungai, hutan dan laut kemudiannya hilang. Ini semua insiden yang kita rekodkan, kadang-kadang ada juga hilang kerana jenayah seperti diculik serta dibunuh,” katanya.

Kes orang hilang kerana jenayah lebih kecil berbanding faktor lain

Berkongsi lanjut, Saifuddin menjelaskan bahawa kes orang hilang disebabkan menjadi mangsa jenayah adalah lebih kecil berbanding faktor-faktor yang lain.

“Berita baiknya, bagi setiap 10 kes orang hilang, sembilan biasanya ditemui. Sama ada polis dapat kesan atau mereka balik sendiri.

“10% tadi (banyak) yang berakhir dengan jumpa mayat sahaja seperti yang berlaku di Tanjung Malim (Nur Farah Kartini Abdullah). Kita bersimpati kerana asalnya dilaporkan hilang oleh rakan karibnya, kemudian barulah kita dapati dia meninggal dunia dan mayatnya ditemui,” ujar Saifuddin.

Saifuddin mendedahkan tentang perkara itu pada pagi tadi dalam satu temubual eksklusif bersama stesen radio Sinar FM.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.