Dalam Banyak-banyak Pilihan, Kenapa Bunga Raya Dinobat Sebagai Bunga Kebangsaan? Ini Kisahnya
Untuk info, penduduk Pantai Timur dan Pantai Barat masing-masing menggemari Bunga Mawar dan Melur, namun Bunga Raya yang dipilih sebagai Bunga Kebangsaan negara ini.
- Bunga Raya dipilih sebagai Bunga Kebangsaan Malaysia oleh Tuanku Abdul Rahman pada 28 Julai 1960 kerana terkenal, mudah didapat, dan unik.
- Lima kelopak Bunga Raya melambangkan lima prinsip Rukun Negara, menjadikannya simbol perpaduan dan kemerdekaan Malaysia.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Setiap kali menjelang bulan kebangsaan, kita disajikan dengan pelbagai sejarah, fakta dan info mengenai kemerdekaan negara untuk menyemai semangat patriotisme dalam diri setiap rakyat Malaysia.
Kami percaya rata-rata pasti sudah mengetahui dan ingat tentang waktu, di mana dan di bawah pentadbiran tokoh mana Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan merdeka.
Namun pernah tidak anda terfikir di mana tercetusnya idea atau siapa yang membuat keputusan menjadikan Bunga Raya sebagai Bunga Kebangsaan Malaysia?

Bunga Raya Diisytihar Bunga Kebangsaan Pada 1960
Kalau anda nak tahu, Bunga Raya diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 28 Julai 1960.
Meskipun popular dengan nama Bunga Raya, namun bunga ini turut dikenali dengan nama Bunga Sepatu, Kembang Sepatu, Kembang Uribang dan Kembang Warawiri (Hibiscus rosa-sinensis).
6 Lagi Bunga Dicadang Sebagai Pilihan Bunga Kebangsaan
Bagaimanapun Bunga Raya ini tidak dipilih begitu sahaja. Pada awalnya, terdapat enam bunga lain yang dipertimbangkan semasa proses pemilihan pada tahun 1950.
Pada waktu itu, Kementerian Pertanian telah mengemukakan beberapa cadangan jenis bunga seperti:
- Bunga Raya
- Bunga Kenanga
- Bunga Melur
- Bunga Cempaka
- Bunga Teratai
- Bunga Mawar
- Bunga Tanjung

Bunga Mawar & Bunga Melur Pilihan Hati Pantai Timur, Pantai Barat Pada Awalnya
Bagi menentukan bunga mana yang patut diangkat sebagai Bunga Kebangsaan, Jabatan Penerangan telah menjalankan satu kajian untuk mendapatkan pandangan dan reaksi orang ramai berhubung pilihan-pilihan bunga itu.
Hasil kajian mendapati penduduk di kawasan Pantai Timur lebih menggemari Bunga Mawar (ros) manakala Bunga Melur menjadi pilihan hati orang Pantai Barat.

5 Faktor Kenapa Bunga Raya Dinobatkan Bunga Kebangsaan Malaysia
Pun begitu, selepas meneliti ‘calon-calon’ Bunga Kebangsaan, kerajaan telah memutuskan untuk memilih Bunga Raya atas beberapa kriteria termasuklah:
- Sudah terkenal di seluruh negara
- Mudah didapatkan
- Warna dan bentuk yang menarik
- Dikenali dengan nama panggilan yang sama di seluruh negara
- Bukan Bunga Kebangsaan di mana-mana negara lain serata dunia pada ketika itu.
Bagaimanapun, sekarang kita boleh lihat beberapa buah negara lain juga sudah menobatkan Bunga Raya sebagai Bunga Kebangsaan negara mereka seperti Korea Selatan, Hawai dan Kepulauan Solomon.

Kelopak Bunga Raya Lambangkan 5 Prinsip Rukun Negara
Pada hari ini, kita boleh lihat Bunga Raya adalah pilihan bunga yang paling tepat memandangkan ia mempunyai lima helai kelopak yang melambangkan lima pecahan prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, serta Kesopanan dan Kesusilaan.
Apa yang lebih ikoniknya, Bunga Raya adalah pemilihan yang ideal memandangkan terdapat perkataan ‘raya’ di dalam bunga berkenaan yang membawa maksud perayaan.
Oleh itu, Bunga Raya menjadi simbol yang sesuai kerana ia menggambarkan semangat perpaduan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, selain melambangkan kemerdekaan negara.
Malah ia bukan sekadar bunga tetapi Bunga Raya adalah lambang identiti perpaduan dan semangat kebangsaan Malaysia.
Disebabkan itulah, Bunga Kebangsaan Malaysia ini banyak digunakan untuk pelbagai agenda, termasuk pada lambang negara, wang kertas, syiling, banner majlis rasmi dan banyak lagi.

Kebaikan Bunga Raya Untuk Kesihatan Manusia, Bukan Setakat Cantik Sahaja
Fakta tambahan yang mungkin ramai di antara anda tidak tahu, Bunga Raya ini bukan sekadar cantik tetapi mempunyai kebaikan lain terhadap kesihatan manusia.
Sebagai contoh dalam perubatan Ayurveda (perubatan tradisional di India), bunga dan daun bunga raya digunakan untuk menghasilkan ekstrak cecair. Ia kemudiannya dipakai sebagai syampu untuk menggalakkan pertumbuhan rambut.
Di beberapa negara di benua Afrika pula, kandungan serat yang terhasil daripada pokok Bunga Raya digunakan sebagai alternatif kepada jut (pokok herba).
Selain itu kalau anda perasan di pasaran, jus roselle (Hibiscus Sabdariffa) boleh dijadikan sebagai minuman untuk menghilangkan dahaga.
Gabungkan penulisan, reka bentuk visual & kreativiti untuk jadikan cerita trending, gaya hidup, berita lebih catchy di BuzzKini. Canva pula jadi tempat eksperimen dengan bermacam-macam idea. ๋࣠â‘✮💻₊ ⊹





