Now Reading
Bakal Dirobohkan Sebelum Akhir Tahun 2026, Ketahui Tragedi Runtuhan Highland Towers

Bakal Dirobohkan Sebelum Akhir Tahun 2026, Ketahui Tragedi Runtuhan Highland Towers

Insiden runtuhan bangunan Blok 1 Highland Towers di Hulu Klang Selangor pada 11 Disember 1993 lalu menjadi nahas bangunan paling buruk dalam sejarah negara.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (14 Jun), media melaporkan kompleks kondominium Highland Towers di Hulu Klang Selangor yang telah terbiar hampir 32 tahun akhirnya dijangka akan dirobohkan sebelum akhir tahun 2026 selepas mendapat kelulusan mahkamah.

Selama ini, bangunan terbiar tersebut sering menjadi bualan ramai tentang kisah nahasnya yang tragis. Malah ada juga pihak yang mengaitkannya dengan kisah mistik. Namun pasti ada yang tidak tahu tentang insiden sebenar yang berlaku pada 11 Disember 1993 itu.

Baca Artikel Berkaitan: Lebih 30 Tahun Terbiar, Highland Towers Akan Dirobohkan Sebelum Hujung 2026

SAR Dijalankan Selepas Bangunan 12 Tingkat Kondominium Highland Towers Runtuh

Kisah tragedi bangunan yang merupakan salah satu kediaman paling eksklusif di Malaysia pada waktu itu bermula apabila Blok 1 kondominium setinggi 12 tingkat di Taman Hillview Hulu Klang itu dilaporkan tumbang pada jam 1.35 petang.

Difahamkan bangunan 12 tingkat itu runtuh dalam masa lima minit sekaligus menyebabkan puluhan penghuni daripada 50 unit blok itu terperangkap dalam runtuhan.

Malah rakaman ketika runtuhnya bangunan terbabit turut berjaya dirakam oleh seorang penghuni Blok 2, Bruce Mitchell.

Foto: Bruce Mitchell via Wikipedia

48 Nyawa Terkorban, 2 Terselamat Dalam Nahas Runtuh Highland Towers

Insiden tragis ini telah meragut 48 nyawa, termasuk 12 warga asing dan anak serta menantu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Musa Hitam, iaitu Carlos Rashid dan Rosina Abu Bakar.

Susulan itu, pelbagai usaha mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bagi menemukan mangsa yang masih hidup dan bertarung nyawa.

Bagaimanapun, pasukan penyelamat berjaya menemui dua orang yang masih hidup iaitu warga Indonesia, Umi Rashidah Koruman yang juga seorang pembantu rumah bersama anaknya, Nur Hamidah Najib yang pada waktu itu berusia 18 bulan.

Selain itu, seorang wanita warga Jepun, Nakajima Shizue turut diselamatkan daripada runtuhan namun, disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Foto: Sosial media

Warga Jepun, Korea, Indonesia Antara Mangsa Runtuhan Highland Towers

Kejadian itu bukan sahaja menjadi berita utama bagi rakyat Malaysia, malah turut mendapat perhatian media antarabangsa pada ketika itu.

Negara lain yang turut bekerjasama dalam operasi SAR ialah Singapura, Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Jepun. Namun proses mencari dan menyelamat mangsa ini dihentikan pada 23 Disember, 12 hari selepas kejadian berlaku atas faktor tiada lagi nyawa terperangkap yang dikesan.

Memetik Malay Mail, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan mangsa turut terdiri dari warga Jepun, Korea, Filipina, Indonesia, India dan Pakistan.

Blok 2 & Blok 3 Jadi Port Penagih Dadah

Sehingga hari ini, Blok 2 dan Blok 3 masih berdiri, namun kedua-duanya terus terbiar dan usang tanpa penghuni. Difahamkan, bangunan berkenaan telah menjadi port penagih dadah, kecurian harta benda mangsa, dan juga kegiatan vandalisme sejak tahun 2004 lagi.

Tembok Yang Dibina Belakang Blok 1, Highland Towers Punca Utama Runtuhan

Memetik NST, peningkatan aliran air bawah tanah selepas hujan berterusan selama 10 hari dipercayai telah melemahkan struktur asas tapak binaan bangunan tersebut.

Lapor Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan pula, Perunding jurutera geoteknikal Prof N E Simons memberitahu Mahkamah Tinggi pada 1999 bahawa reka bentuk yang tidak sempurna bagi tembok yang dibina untuk menyokong cerun bukit di belakang satu daripada blok Highland Towers merupakan punca utama runtuhan berlaku.

Pelukis Pelan Tak Ada Kelayakan Bina Bangunan Highland Towers

Pada tahun 1997, bekas presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Henry Lee Inn Seong, memberitahu Mahkamah Koroner Kuala Lumpur bahawa pelukis pelan pangsapuri Highland Towers dari Highland Properties Sdn Bhd tidak mempunyai kelayakan bagi membina bangunan setinggi 12 tingkat.

Beliau memaklumkan bahawa pelukis pelan itu, Wong Tin Sang, hanya mempunyai kelayakan untuk mendirikan bangunan tidak melebihi 300 meter persegi atau 3,000 kaki persegi atau tidak melebihi dua tingkat.

Tragedi Highland Towers Diklasifikan Sebagai Kejadian Nahas

Mahkamah Koroner pada 1997 memutuskan tragedi pangsapuri Highland Towers bukan disebabkan sebarang unsur jenayah dan bencana alam, tetapi adalah satu kejadian nahas.

Pemilik Kondominium Fail Saman, Tuntut Ganti Rugi Hingga RM35 Juta Akibat Kehilangan Tempat Tinggal

Rentetan tragedi itu, berlakunya pertikaian undang-undang yang berlarutan selama bertahun-tahun membabitkan pelbagai pihak termasuk penduduk, pemaju dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Pada 4 Disember 1996, pemilik kondominium dilaporkan memfailkan saman terhadap beberapa pihak termasuk MPAJ bagi mendapatkan pampasan bernilai antara RM31 juta hingga RM35 juta susulan kehilangan kediaman mereka.

Isu Perundangan Bagi Merobohkan 2 Blok Highland Towers Mengambil Masa Bertahun-tahun

Usaha merobohkan baki dua blok pula tidak dapat dilaksanakan dengan segera apabila berdepan isu perundangan dan pemilikan yang berlarutan selama bertahun-tahun.

Namun semalam, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Hasrolnizam Shaari memaklumkan bahawa Mahkamah Majistret pada minggu lalu membenarkan permohonan pihak berkuasa tempatan (PBT), membolehkan struktur bangunan terbabit yang terbiar lebih tiga dekad lalu supaya diruntuhkan.

Baca Artikel Berkaitan: 28 Tahun Terbiar, Highland Towers Akhirnya Bakal Dirobohkan

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.